Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe menganggap masih belum terbayang pentas final buat skuad kendaliannya meskipun memiliki kelebihan dua gol menjelang pertemuan separuh akhir kedua TM Piala Malaysia 2022.

Artikel Berkaitan:

Hakikat itu diakui Cheng Hoe kerana beliau melihat Terengganu masih merupakan sebuah pasukan yang berkualiti terutamanya apabila beraksi di laman sendiri.

Pada aksi pertama yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya, Selangor berjaya mencatatkan kemenangan 3-1 hasil jaringan tandukan oleh Richmond Tetteh Ankrah, Herlison Caion dan Shahrul Nazeem Zulpakar.

Mengulas mengenai perlawanan tersebut, pengendali berusia 54 tahun itu memuji aksi yang ditampilkan anak buahnya.

Malah beliau turut mengakui bahawa tidak pernah merasai pengalaman memperoleh jaringan hasil daripada tiga keadaan sama iaitu menerusi situasi sepakan sudut.

“Saya rasa prestasi secara keseluruhan yang menakjubkan daripada pemain-pemain. Mereka begitu bekerja keras dan begitu fokus, dapat menghentikan serangan-serangan daripada Terengganu.”

“Sudah pasti saya rasa barisan pemain pertahanan juga memainkan peranan yang cukup penting dan tiga gol daripada sepakan penjuru, itu sedikit sebanyak memberikan kita keyakinan.”

Kredit Foto: Malaysian Football League

“Setakat ini itulah kali pertama saya merasai suasana tiga sepakan penjuru berjaya mendapatkan tiga gol. Sudah tentu itu bukan datang secara nasib, kita ada membuat latihan,” ujar Tan Cheng Hoe bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

“Saya begitu yakin dengan [kemampuan] Mukhairi Ajmal. Kualiti hantarannya sangat baik, itulah sebabnya pertahanan dan penyerang kita dapat menjaringkan gol.”

Meskipun memiliki kelebihan dua jaringan dan anak buahnya berada dalam mood terbaik untuk meneruskan momentum kecemerlangan, Cheng Hoe masih memandang tinggi kemampuan lawannya yang akan ditemui lagi pada Isnin depan.

“Dalam bola sepak, perlawanan kedua kita ada lagi baki 90 minit, kita juga tahu kekuatan Terengganu apabila bermain di laman sendiri.”

“Sebagai jurulatih, masih belum lagi selagi ada 90 minit walaupun dengan jaringan 3-1 bukan satu jaminan untuk kita layak ke final. Tetapi kita kena bertandang ke Terengganu nanti dengan keyakinan.”

“Kita pun tidak boleh memandang rendah perlawanan itu kerana kita tahu kalau kita lihat bahagian serangan Terengganu cukup kental dan serasi dari segi kombinasi mereka, cukup berbahaya,” tambah Tan Cheng Hoe lagi.