Follow Untuk Isu-isu Viral Kemaskini Terkini

Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe mengakui banyak perkara yang perlu dilakukan oleh anak buahnya meskipun berpesta jaringan di Stadium Majlis Bandaraya Kelana Jaya (MBPJ) ke atas Melaka United, malam tadi.

Artikel Berkaitan:

Tidak keterlaluan juga untuk mengatakan bahawa kemenangan 5-0 itu boleh diibaratkan sebagai hadiah ‘selamat datang’ buat Tan Cheng Hoe yang diumumkan sebagai pengendali baharu Selangor pada 24 September lalu.

Pada perlawanan tersebut, Nor Hakim Hassan membuka tirai jaringan pada minit ke-16 dan kemudiannya Mukhairi Ajmal Mahadi meledakkan rembatan padu untuk kelebihan dua gol buat tuan rumah sehingga tamat separuh masa pertama.

Memasuki babak kedua, Brendan Gan meletakkan nama selaku penjaring pada minit ke-66 dan 78 sebelum Herlison Caion de Sousa Ferreira menutup pesta Selangor dengan gol sepakan penalti.

“Ya, memang satu permulaan yang baik daripada pasukan.  Sudah tentu ia merupakan sesuatu yang boleh memberikan keyakinan kepada pemain-pemain.”

“Sudah tentu saya rasa masih banyak kerja rumah yang kita perlu diperbaiki walaupun kita tidak menjangkakan kemenangan 5-0 ini.”

“Tetapi banyak lagi perkara yang kita perlu perbaiki. Saya rasa pemain-pemain jika diberikan masa saya rasa mereka boleh meningkat dari segi permainan mereka.

“Kita akan memberikan fokus dari satu perlawanan ke satu perlawanan,” ujar Tan Cheng Hoe bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

Selain itu, Cheng Hoe turut memuji kemampuan tinggi yang dipamerkan oleh barisan pemain muda pada perlawanan ke-19 buat Selangor ini.

“Ya, saya rasa rata-rata pemain muda ada bakat yang besar dan sudah tentu mereka perlu diberikan galakan, keyakinan. Diharapkan mereka boleh meningkat ke tahap yang lebih baik.”

“Masih banyak ruang perlu kita diperbaiki dan diharapkan mereka akan bermain dengan konsisten pada perlawanan akan datang,” tambah beliau lagi.