Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mahu menamatkan rekod buruk bertemu Vietnam apabila kedua-dua pasukan bertembung pada perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 Jumaat ini.

Aksi yang akan berlangsung di Stadium Al Maktoum, Dubai ini akan menjadi perlawanan kelima antara Malaysia menentang Vietnam sejak Cheng Hoe dilantik sebagai ketua jurulatih dimana Vietnam memenangi 3 perlawanan dan satu perlawanan berakhir dengan keputusan seri.

Tan Cheng Hoe
Sumber Gambar: FAM

“Meskipun kita tidak menang dalam empat perlawanan terakhir, saya pasti para pemain sudah mengetahui corak permainan dan taktik Vietnam. Kami perlu lebih bijak dalam memanfaatkan peluang.

“Dalam setiap perlawanan menentang Vietnam, kami mempunyai peluang untuk menjaringkan gol. Jadi kami perlu lebih tajam jika mahu meraih keputusan,” kata Tan Cheng Hoe menurut laporan Malay Mail.

Skuad bimbingan Park Hang-seo sedang berada dalam prestasi terbaik setelah menewaskan Indonesia dengan keputusan 4-0 pada Isnin lalu.

Pada aksi menentang Malaysia, juara Piala AFF Suzuki 2018 itu akan turun tanpa kelibat Nguyen Quang Hai yang digantung satu perlawanan selepas mengutip dua kad kuning.

Vietnam kini menjadi pendahulu dalam carta kumpulan G dengan perolehan 14 mata, dua mata dihadapan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan lima mata dihadapan Thailand serta Malaysia.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad kebangsaan di sini:

Kekuatan Vietnam Dari Kaca Mata Jurulatih Tempatan Ini

Malaysia Ada Kelebihan Dari Segi Fizikal Lawan Vietnam

Park Hang-seo Tak Risau Kehilangan Nguyen Quang Hai, Dedah Sudah Ada ‘Backup Plan’