Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menyatakan penting untuk anak-anak buahnya mencipta kemenangan ke atas Timor Leste malam ini bagi memperbaiki kedudukan Malaysia dalam ranking FIFA.

Cheng Hoe dilihat masih belum berpuas hati dengan kemenangan besar 7-1 yang dicatat pada perlawanan pertama Jumaat lalu dan beliau mahukan rentak kemenangan tersebut diteruskan.

Tan-Cheng-Hoe
Sumber Gambar: Sports247.com

“Ranking sangat penting untuk undian pusingan kedua nanti, jadi saya nak pemain turun ke padang dengan misi untuk dapatkan keputusan yang positif hari ini.

“Perlawanan ini juga penting untuk meningkatkan keyakinan pasukan pada pusingan seterusnya, di mana kita akan bertemu pasukan yang lebih kuat,” katanya menurut laporan Utusan.

Untuk perlawanan malam ini, bekas pengendali pasukan Kedah itu dijangka membuat beberapa perubahan dalam kesebelasan utama bagi memberi peluang kepada pemain yang tidak beraksi Jumaat lalu.

Barisan serangan mungkin diisi oleh pemain lain kerana penyerang sebelum ini, Syafiq Ahmad tidak dapat diturunkan kerana mengalami kecederaan lutut kiri.

Jika berjaya mencatat kemenangan, berkemungkinan besar Malaysia akan diletakkan di Pot 4 dalam undian kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 bagi pusingan kedua yang akan bermula pada September nanti.