Semalam peminat bola sepak tempatan dikejutkan dengan pengumuman rasmi oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) mengenai pengesahan bekas pemain import Kedah, Liridon Krasniqi sebagai warganegara Malaysia.

Ia bermakna Liridon kini merupakan pemain naturalisasi kedua selepas Mohamadou Sumareh bagi memperkuatkan skuad Harimau Malaya dalam perlawanan di peringkat antarabangsa.

Berkata dalam Bernama, Ketua jurulatih skuad negara, Tan Cheng Hoe amat mengenali corak permainan Liridon ketika membimbing pasukan Kedah pada tahun 2014 hingga 2017 dan menyifatkan kehadirannya mampu memantapkan jentera serangan skuad Harimau Malaya. .

“Kalau ditakdirkan satu hari nanti Liridon bermain bersama pasukan negara, ia satu impak terbaik kepada pasukan kerana beliau mempunyai karakter dan permainan yang bermotivasi tinggi sekali gus memberi perkembangan positif di bahagian serangan pasukan.

“Kita tahu semasa di Kedah beliau bermain begitu baik dan merupakan jentera peledak pasukan selain bekerja keras dalam setiap latihan dan perlawanan. Jadi saya harap beliau teruskan sumbangan itu bersama pasukan kebangsaan nanti,” katanya kepada wartawan.

Foto: FAM
Liridon Krasniqi angkat sumpah sebagai warganegara Malaysia yang sah. Foto: FAM

Mengulas mengenai panggilan ke skuad kebangsaan, Cheng Hoe menjelaskan beliau mahu menilai prestasi pemain itu dalam saingan Liga Super terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk menyenaraikannya.

“Beliau daripada segi fizikal, taktikal dan teknikal telah meningkat tetapi kita kena pantau dahulu prestasinya bersama JDT dalam saingan Liga-M musim ini kerana hampir setahun beliau tidak beraksi secara kompetitif,” jelas pengendali berusia 50 tahun itu.

Skuad Harimau Malaya dijadualkan bertemu Bahrain dalam perlawanan persahabatan antarabangsa pada 21 Mac 2020 sebelum berdepan Emiriah Arab Bersatu (UAE) di Dubai 26 Mac dan Vietnam di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 31 Mac 2020.

Liridon juga berpeluang membuat penampilan pertama ketika berdepan UAE, tetapi perlu menunggu pengesahan daripada Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) terlebih dahulu sebelum meneruskan proses pendaftaran pemain yang akan tamat pada 20 Mac ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Kelayakan Piala Dunia 2022: Aidil Zafuan Yakin Skuad Harimau Malaya Akan Melangkah Jauh

Kuwait Bakal Uji Kekuatan Harimau Malaya Pada Bulan Jun 2020

Kipre Tchetche Berpeluang Jadi Pemain Naturalisasi Harimau Malaya Pada Tahun 2021

Sumber