Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan beliau mahu mencari kombinasi terbaik antara pemain pada perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Nepal hari ini.

Menurut Cheng Hoe, beliau tidak terlalu memikirkan tentang keputusan perlawanan sebaliknya mahu mengenal pasti pemain mana yang akan diturunkan pada perlawanan menentang Timor Leste pada 7 dan 11 Jun ini.

Tan-Cheng-Hoe
Sumber Gambar: Sports247.com

“Esok hanyalah perlawanan ujian kerana saya masih mencari pilihan terbaik yang ada untuk perlawanan menentang Timor Leste.

“Berdasarkan perangkaan sejak Mac, Nepal telah meningkat dengan ketara dan kami perlu berhati-hati dengan mereka dan menumpukan perhatian kepada permainan kami,” kata Cheng Hoe menurut laporan Utusan.

Bekas pengendali pasukan Kedah itu tidak dapat menggunakan khidmat Syahmi Safari dan Mohamadou Sumareh akibat masalah kecederaan dan juga penggantungan pada perlawanan malam ini.

Namun, beliau yakin pemain sedia ada mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Syahmi dan Sumareh yang menjadi watak utama bagi pasukan kebangsaan dalam saingan Piala AFF Suzuki tahun lalu.

Dalam kedudukan ranking FIFA ketika ini, Nepal berada di atas Malaysia dengan menduduki tangga ke-161 manakala pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe menduduki tangga ke-168.