Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe berharap satu perlawanan persahabatan dapat diadakan sebelum membuka tirai kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia menentang Indonesia pada 5 September mendatang.

Sebelum ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) sudah merancang perlawanan persahabatan antara skuad kebangsaan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE). Namun perlawanan tersebut terpaksa dibatalkan kerana UAE berada dalam satu kumpulan bersama Malaysia.

Tan-Cheng-Hoe
Sumber Gambar: Sports247.com

Menurut Cheng Hoe, aksi persahabatan itu sangat penting dalam membentuk skuad terbaik untuk berdepan dengan Indonesia yang juga seteru utama di rantau Asia Tenggara.

“FAM ketika ini sedang berusaha mengatur aksi persahabatan dan saya harap kita dapat satu perlawanan pemanas badan sebelum menentang Indonesia.

“Barisan kejurulatihan ketika ini juga masih melakukan pemantauan dan penilaian terbaik terhadap pemain untuk dipanggil menyertai pasukan nanti,” katanya menurut laporan Berita Harian.

Selain diundi bersama UAE dan Indonesia, dua lagi pasukan Asia Tenggara iaitu Vietnam serta Thailand turut berada dalam kumpulan G bagi saingan peringkat kelayakan kali ini.

Keputusan undian WCQ-01
Vocket FC

Pasukan negara berkemungkinan besar akan diperkuatkan oleh beberapa tonggak baharu seperti Liridon Krasniqi san Guilherme De Paula dimana FAM telah menghantar dokumen kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) bagi mendaftarkan mereka sebagai pemain naturalisasi.

Selain Liridon dan De Paula, beberapa pemain kacukan juga dikhabarkan bakal memperkuatkan pasukan kebangsaan.