Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan kegagalan pemain untuk mengekalkan tempo serta memanfaatkan peluang terhidang menjadi punca terhadap kekalahan kepada Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada perlawanan kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Pasukan negara menampilkan persembahan cemerlang pada separuh masa pertama dimana Syafiq Ahmad berjaya menjaringkan gol ketika permainan berusia 40 saat dan barisan pemain lain tidak memberikan banyak ruang kepada pemain UAE untuk mengasak.

Cheng Hoe nyata kecewa dengan kekalahan semalam kerana pasukan negara berpeluang untuk sekurang-kurangnya memperoleh satu mata.

Tan
Tan Cheng Hoe dan Datuk Wira Mohd Yusoff Mahadi. Sumber Gambar: FAM

“Secara keseluruhan pemain menampilkan persembahan yang baik tetapi mereka tidak dapat mengekalkan tempo serta intensiti. Pada separuh masa pertama khususnya 20 minit awal kita sepatutnya menjaringkan lebih banyak gol.

“Pemain tahu mereka perlu meningkatkan tempo dan intensiti kerana mereka bermain menentang pasukan yang lebih baik seperti UAE. Jadi setiap peluang yang mereka ada, pemain perlu memanfaatkannya. Pasukan lawan hanya mempunyai dua peluang dan mereka berjaya menjaringkan dua gol,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Tambah Cheng Hoe, kini para pemain perlu memperbaiki segala kesilapan yang terjadi pada perlawanan menentang Indonesia dan UAE dan perlu membuat persediaan rapi bagi menghadapi perlawanan kelayakan yang akan datang khususnya perlawanan menentang Vietnam di Hanoi pada 10 Oktober nanti.

Tan
Syafiq Ahmad. Sumber Gambar: FAM

Pada perlawanan semalam, jaringan awal Syafiq Ahmad dipadam oleh penyerang UAE, Ali Makhbout yang menjaringkan dua gol masing-masing pada separuh masa pertama dan kedua. Ali menanduk masuk bola pada penghujung separuh masa pertama sebelum memanfaatkan kesilapan yang dilakukan oleh Shahrul Saad bagi menjaringkan gol kemenangan.

Skuad bimbingan Bert van Marwijk akan menjamu Indonesia di Stadium Al Maktoum pada 10 Oktober mendatang.

Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Malaysia menentang UAE di sini:

Bert van Marwijk: Stadium Cantik Tapi Padang Tidak Memuaskan

Ali Mabkhout Musnahkan Impian Harimau Malaya Kutip Tiga Mata Penuh Di Halaman Sendiri