Ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe menegaskan kehadiran Dion Johan Cools bakal memberikan kestabilan kepada skuad kebangsaan khususnya setelah kehilangan dua khidmat pemain utama di bahagian pertahanan.

Dion akan tiba di Singapura pada Khamis dan beliau tidak perlu menjalani proses kuarantin ekoran persetujuan Malaysia-Singapore Vaccinated Travel Lane (VTL) sekaligus terus menyertai sesi latihan pasukan negara.

Dion Johan Cools
Sumber Gambar: FAM

“Saya sudah berkomunikasi dengan Dion dan beliau sudah bersedia untuk beraksi. Pengalaman yang dimilikinya akan membantu beliau untuk menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan yang lain.

“Kehadiran Dion juga bakal memberikan kita kestabilan khususnya setelah kehilangan khidmat Aidil Zafuan dan Shahrul Saad,” kata Cheng Hoe.

Aidil dan Shahrul mengalami kecederaan pangkal paha ketika perlawanan menentang Vietnam pada Ahad lalu dan kedua-dua pemain tidak sempat untuk pulih bagi menghadapi Indonesia pada aksi terakhir kumpulan B 19 Disember ini.

Dion Johan Cools tidak terlibat pada tiga aksi peringkat kumpulan B saingan Piala AFF Suzuki 2020 sebelum ini menentang Kemboja, Laos dan Vietnam ekoran tugasan bersama kelabnya, FC Midtjylland yang beraksi dalam saingan Danish Superliga.

Pada perlawanan wajib menang menentang Indonesia, Dion bakal bergandingan dengan Dominic Tan dan kedua-dua pemain ini bakal memainkan peranan penting sama ada pasukan negara melangkah ke peringkat separuh akhir atau sebaliknya.

Dion Johan Cools
Dion Cools dan Dominic Tan

Berdepan Indonesia, Cheng Hoe menganggap pasukan bimbingan Shin Tae-yong itu merupakan pasukan berbeza berbanding ketika Malaysia menewaskan skuad Garuda pada kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 pada 2019 lalu.

Pasukan negara turut menerima gambar gembira setelah tiga pemain yang disahkan positif COVID-19 iaitu Faisal Halim, Khairulazhan Khalid dan Quentin Cheng sudah mendapat pelepasan untuk menyertai sesi latihan skuad kebangsaan.

Setakat ini, Thailand dan Singapura yang berada dalam kumpulan A telah mengesahkan kemaraan ke peringkat separuh akhir dan kedua-dua pasukan sedang menanti pasukan dari kumpulan B yang akan dihadapi oleh mereka.

Baca artikel lain mengenai saingan Piala AFF Suzuki 2020 di sini:

Alexandre Pölking Hadir Pada Aksi Vietnam Menentang Indonesia, Kaji Lawan Di Separuh Akhir

“Penganjur Goblok, AFF Mafia”, Penyokong Indonesia Mengamuk Elkan Baggott Kena Kuarantin

Piala AFF 2020: Rekod Hebat Teerasil Dangda Serikan Kejayaan Thailand