Bekas ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengakui beliau dan pasukan bimbingannya sedar mereka tiada kemampuan untuk mara ke pentas akhir saingan Piala AFF Suzuki 2020.

Dalam satu temu bual bersama Twentytwo13, Cheng Hoe ditanya sama ada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) ada berunding dengan beliau sebelum menetapkan sasaran untuk pasukan negara iaitu mara ke perlawanan akhir saingan Piala AFF.

Cheng Hoe mengakui tiada perbincangan antara beliau dan juga badan induk bola sepak negara itu mengenai sasaran yang diletakkan.

“Semasa FAM mengumumkan sasaran untuk mara ke perlawanan akhir, saya ambil perkara itu sebagai cabaran. Saya tidak menolak, dan saya juga tidak menerima.

“Saya mahu memberikan peluang kepada para pemain kerana mereka jarang mendapat peluang untuk beraksi di pentas antarabangsa. Jadi ianya satu percubaan yang baik bagi melihat sama ada mereka bersedia atau sebaliknya.

“Akan tetapi, kita memerlukan pemain utama barulah kita boleh membina satu pasukan yang kukuh. Kami tahu kami tidak mempunyai kekuatan untuk melangkah ke pentas akhir. Itu pendapat saya,” kata Tan Cheng Hoe.

Ketika ditanya apa langkah bekas ketua jurulatih Kedah Darul Aman selepas meletak jawatan, Cheng Hoe berkata beliau mahu nerehat seketika sehingga perayaan Tahun Baru Cina.

Jurulatih berusia 53 tahun itu turut menegaskan beliau belum menerima sebarang tawaran baik dari pasukan Liga Malaysia ataupun dari luar negara.

Peminat bola sepak tanah air menganggap tidak adil jika hanya Cheng Hoe sahaja yang meletak jawatan susulan kegagalan pasukan negara dalam saingan Piala AFF Suzuki 2020.

Mereka mahu pihak pengurusan turut mengambil langkah sama kerana peminat berpendapat pihak pengurusan juga gagal untuk menjalankan tugas dengan baik yang menyebabkan pasukan gagal untuk menampilkan prestasi terbaik.

FAM perlu segera mencari ketua jurulatih baharu bagi mengendalikan pasukan yang akan beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan bermula pada bulan Jun nanti.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia di sini:

Christophe Gamel Sah Ketua Jurulatih Baharu Sri Pahang

Scott O’Donell Bakal Diumumkan Sebagai Pengarah Teknikal Baharu FAM?

FAM: Tan Cheng Hoe Sah Letak Jawatan Ketua Jurulatih Malaysia Dengan Persetujuan Bersama