Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe mendedahkan tindakan awal diambilnya dengan mengeluarkan Junior Eldstal pada aksi Piala AFF Suzuki 2020 bertemu Kemboja, petang semalam adalah kerana berkenaan perubahan taktikal.

Pemain tengah itu hanya sempat beraksi selama 26 minit dan kemudiannya beliau digantikan dengan pemain muda, Muhammad Mukhairi Ajmal Mahadi.

Mengulas mengenai perkara tersebut selepas perlawanan, Cheng Hoe melihat Eldstal mengalami sedikit kesukaran untuk menyesuaikan diri dengan taktikal diterapkannya.

“Memang ada sedikit pertukaran taktikal pasukan kerana kita tahu Junior Eldstal tak dapat momentum pasukan dan juga permainan beliau [kurang serasi].”

“Sudah tentu dengan kemasukan Mukhairi Ajmal, kita nampak pertukaran tersebut memberikan kita satu keseimbangan dalam pasukan.”

“Sudah tentu ia bukanlah seratus peratus kesalahan Junior Eldstal tetapi itulah salah satu daripada perubahan taktikal kita untuk memberikan keseimbangan dalam pasukan,” tambah Tan Cheng Hoe lagi.

Aksi sulung skuad negara di Stadium Bishan, Singapura itu menyaksikan Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan R. Kogileswaran masing-masing menyumbang satu gol dalam membantu kemenangan 3-1 tersebut.

Selain itu, aksi Luqman Hakim Shamsudin juga mencuri tumpuan ramai berikutan corak permainan meyakinkan ditampilkannya terutama dalam melakukan lorongan kepada rakan sepasukan di dalam kawasan penalti Kemboja sehingga membolehkan pemain muda itu mencipta bantuan jaringan yang dihasilkan Kogileswaran.

Baca juga artikel-artikel lain yang telah kami sediakan untuk anda seperti dibawah.

Piala AFF 2020: Malaysia Mulakan Kempen Dengan Nota Kemenangan

Tan Cheng Hoe Mahu Anak Buah Tingkatkan Momentum

Tan Cheng Hoe:”Paling Penting Corak Permainan Dan Prestasi Pemain Meningkat Setiap Perlawanan.”