Baru-baru ini, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah memanggil 25 pemain bagi menyertai kem latihan pusat skuad kebangsaan dibawah bimbingan Tan Cheng Hoe yang akan bermula pada 30 September ini.

Ia adalah sebahagian daripada persediaan untuk menghadapi perlawanan persahabatan bertemu Sri Lanka pada 5 Oktober 2019 dan seterusnya aksi ketiga Kumpulan G bagi kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober dan satu lagi perlawanan persahabatan bertemu Hong Kong di Stadium Hong Kong pada 15 Oktober.

Daripada 25 pemain tersebut, Cheng Hoe telah menyenaraikan dua pemain baharu yang tidak menyertai pasukan ketika menentang Indonesia dan UAE minggu lalu iaitu Aidil Zafuan dan Halim Saari.

Tan Cheng Hoe
Grafik: FAM

Menurut laporan daripada New Straits Times, pemilihan dua pemain itu adalah untuk membantu memperkuatkan benteng pertahanan yang dilihat agak lemah apabila mudah dibolosi 3 gol sepanjang kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

“Aidil pemain berpengalaman tetapi kami belum membuat keputusan untuk menyenaraikannya dalam kesebelasan utama. Ini akan mewujudkan saingan yang sihat dalam kalangan pemain dan mereka perlu fokus meningkatkan prestasi masing-masing.

“Setakat ini, Aidil telah beraksi dengan baik bersama JDT dan tahun lepas, beliau telah membantu kita mara ke final Piala AFF. Saya telah lihat aksi beliau ketika menentang Terengganu (dalam Piala Malaysia) dan dia kelihatan sangat cergas,” jelasnya.

FBL-AFF-MAS-THA
Aksi Aidil Zafuan ketika menentang Thailand dalam saingan Piala AFF tahun lepas.  (FOTO: MOHD RASFAN / AFP /Getty Images)

Sementara itu, pemain tengah Selangor, Halim Saari menerima panggilan keduanya ke skuad kebangsaan pada tahun ini. Halim sebelum ini beraksi dalam Piala Airmarine dan membantu Malaysia menewaskan Afghanistan, 2-1 pada bulan Mac lalu.

“Kami tahu bahagian tengah perlu diperkuatkan kerana kami perlu stabilkan pasukan. Kami tahu Vietnam pasukan yang sangat kuat terutamanya dari segi bertahan dan kita perlukan seseorang yang boleh membantu pemain tengah.

“Ada 25 orang yang dipanggil tetapi tempat mereka belum terjamin dan perlu bersaing untuk merebut tempat dalam senarai akhir 23 pemain,” katanya.

Pada masa yang sama, tujuh pemain diletakkan dalam senarai bersedia jika ada mana-mana dalam kalangan 25 pemain di atas disahkan mengalami kecederaan iaitu Hadin Azman (Felda Utd), Syazwan Andik Ishak (JDT), Khairul Fahmi Che Mat (Melaka Utd), Jafri Firdaus Chew (PKNS FC), Amirul Azhan Aznan (Perak) serta Azzizan Nordin dan Rawilson Batuil (Sabah).

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya di sini:

FIFA Ranking: Malaysia Naik 1 Tangga, Pintas Indonesia Untuk Berada Di Kedudukan 158 Dunia

Sri Lanka Uji Kekuatan Harimau Malaya Sebelum Bertemu Vietnam

Safee Sali Akui Rindu Sarung Jersi Harimau Malaya