Walaupun kerajaan mengumumkan sukan bersentuhan fizikal seperti Liga Malaysia dibenarkan mulai 15 ogos ini namun Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Malaysia Football League (MFL) masih meneliti tarikh sebenar liga disambungkan semula.

Tarikh sambung semula Liga Malaysia bergantung pada tahap persiapan dan kesediaan pasukan untuk kembali beraksi kerana masih ada pasukan tidak dibenarkan menjalani latihan kerana gagal melengkapkan dokumen yang ditetapkan oleh MFL.

Bagaimanapun, pengendali skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe berharap saingan Liga Malaysia dapat bersambung lebih awal bagi memudahkan persiapan skuad kebangsaan menghadapi kempen Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

75429434_2488141614615921_6660092746662936576_o
FOTO: FAM

Bagi Cheng Hoe, beliau memerlukan 10 hari untuk mengadakan kem latihan pusat bagi memastikan semua pemainnya cukup bersedia dari segi fizikal dan mental.

“Kalendar FIFA (5 oktober-13 oktober) membenarkan 7 hingga 10 hari sesi latihan. Sudah tentu kalau liga bersambung lebih awal, ia lebih bagus sebab pemain akan dapat semula keyakinan, dan mengekalkan tahap kecergasan dalam perlawanan kompetitif.

“Katakan kalau setiap pasukan mula melakukan latihan bersentuhan mulai 15 Julai sampai 1 September, ini bermaksud pemain perlu melakukan regangan yang boleh membebankan mereka.

“Tetapi jika liga dimulakan semula lebih awal, ia akan memberi mereka lebih banyak masa untuk bersama pasukan kebangsaan.

“Dengan jadual yang padat bakal dihadapi selepas ini, mereka akan menjadi lesu yang boleh menyebabkan kecederaan, dan itu adalah kebimbangan utama saya,” katanya dalam New Straits Times. 

Latihan Pusat
Sumber Gambar: FAM

Cheng Hoe turut mendedahkan pihaknya merancang untuk mengadakan perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Bahrain di Manama sebelum menghadapi UAE pada bulan Oktober.

“Setakat ini, tiada perancangan untuk mengadakan perlawanan pemanas badan menentang pasukan tempatan jika liga bersambung semula. Sukar kita nak panggil pemain menentang pasukan tempatan.

“Tetapi kami merancang untuk menentang Bahrain pada perlawanan persahabatan antarabangsa pada 2 Oktober,”jelasnya.

Skuad Harimau Malaya yang kini berada di tangga kedua kumpulan G kempen kelayakan Piala Dunia 2022 dijadualkan menentang UAE pada 8 Oktober dan kemudian menentang Vietnam di Bukit Jalil pada 13 Oktober.

Baca artikel lain mengenai perkembangan skuad Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Harimau Malaya Tidak Perlukan Marcel Kalonda

Lahir Di Sarawak Bukan Tiket Automatik Samuel Bone Sarung Jersi Harimau Malaya

Keputusan MFL Sambung Semula Liga Bakal Bantu Skuad Harimau Malaya