Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe menegaskan beliau hanya akan memilih pemain yang tampil dengan konsisten bersama kelab/pasukan negeri masing-masing bagi membarisi pasukan negara.

Menurut Cheng Hoe, beliau dan staf kejurulatihan yang lain akan membuat pantauan dan tiada jaminan pemain yang dipanggil bagi menghadapi pusingan play-off kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 tempoh hari dikekalkan bagi menghadapi perlawanan di pusingan kedua.

Tan Cheng Hoe
Sumber Gambar: FAM

“Pusingan kedua nanti lebih mencabar. Saya sudah menasihati pemain supaya bersedia untuk peringkat seterusnya kerana ia bukan mudah.

“Kemungkinan besar kami akan menghadapi negara besar seperti Jepun, Korea Selatan, Arab Saudi dan Qatar. Tekanannya pasti lebih tinggi.

“Amat penting pemain kekal prestasi mereka di liga supaya apabila tibanya latihan pusat akan datang, pemain sudah bersedia,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Malaysia menewaskan pasukan Timor Leste dengan agregat 12-2 dalam aksi timbal balik di Stadium Nasional Bukit Jalil dan akan menyertai 39 pasukan terbaik Asia bersaing di pusingan kedua kelayakan bermula September ini.

Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023

Majlis undian akan diadakan di Qatar pada bulan depan dan skuad Harimau Malaya diletakkan di dalam balang keempat.

Di pusingan kedua, sebanyak 40 pasukan akan dibahagikan kepada lapan kumpulan dengan setiap kumpulan mempunyai lima pasukan.