Pengendali skuad kebangsaan, Tan Cheng Hoe berpuas hati dengan prestasi yang ditampilkan oleh barisan pemain simpanan pada perlawanan persahabatan menentang Sri Lanka di Stadium Nasional Bukit Jalil semalam.

Menurut Cheng Hoe, pemain yang diturunkan menampilkan prestasi yang baik namun beliau berpendapat masih banyak aspek yang boleh diperbaiki.

Tan Cheng Hoe
Sumber Gambar: PFAM

“Secara keseluruhan, pemain yang diturunkan menampilkan persembahan terbaik tetapi pada pendapat saya pemain ini boleh meningkatkan kualiti mereka pada masa hadapan.

“Ini kerana kita perlukan pemain bersaing untuk merebut tempat dalam skuad kebangsaan terutamanya bagi diturunkan dalam kesebelasan utama,” katanya pada sidang media selepas perlawanan.

Pada perlawanan yang dihadiri oleh seramai 7293 penyokong itu, Syafiq Ahmad menjadi wira pasukan apabila beliau meletak tiga gol sekaligus memperoleh hatrik pertama bersama pasukan kebangsaan.

Tan Cheng Hoe
Norshahrul Idlan Talaha. Sumber Gambar: FAM

Tiga lagi gol pasukan negara dijaringkan oleh Akhyar Rashid, Norshahrul Idlan Talaha dan pemain pertahanan, Shahrul Saad.

Kemenangan 6-0 ini dilihat menjadi tonik terbaik untuk pemain negara mempersiapkan diri menjelang perlawanan menentang pasukan Vietnam di Stadium Nasional My Dinh, Hanoi pada 10 Oktober ini.

Dalam carta kumpulan G kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023, Vietnam ketika ini menduduki tangga keempat dengan kutipan satu mata manakala Malaysia menduduki tangga ketiga dengan kutipan tiga mata.

Baca artikel lain mengenai pasukan kebangsaan di sini:

Shahrel Fikri, Partiban Dan Azam Azih Tiada Dalam Skuad Akhir Malaysia Ke Vietnam

Syafiq Ahmad: Ini Prestasi Terbaik Saya Dalam Karier Bola Sepak Kebangsaan Selepas Pulih Dari Kecederaan

Presiden FAM: Jangan Leka Dengan Kemenangan, Jadikan Pembakar Semangat Perlawanan Bertemu Vietnam