Bekas jurulatih skuad Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe menjadi bualan peminat bola sepak tempatan hari ini apabila dilaporkan bakal mengendalikan pasukan Selangor FC dalam saingan Liga Malaysia.

Menurut laporan daripada Flash Sukan, jurulatih yang berusia 54 tahun itu sudah mencapai persetujuan menyertai Selangor FC sekaligus menggantikan tempat Michael Feichtenbeiner.

Katanya, satu pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat dan kehadiran jurulatih berkenaan pastinya ditunggu penyokong setia skuad Red Giants.

Beliau ketika ini bergelar ejen bebas setelah meninggalkan pasukan negara ekoran kegagalan dalam saingan Piala AFF Suzuki tahun lalu dan tempat beliau digantikan dengan jurulatih dari Korea Selatan iaitu Kim Pan-gon.

Antara pencapaian terbaik Tan Cheng Hoe bersama skuad kebangsaan ialah membawa skuad Malaysia muncul sebagai naib juara Piala AFF pada tahun 2018.

Kali terakhir Tan Cheng Hoe menguruskan pasukan Liga Malaysia ialah ketika beliau mengendalikan pasukan Kedah Darul Aman pada musim 2017 sebelum diserap masuk ke dalam staf kejurulatihan pasukan negara yang ketika itu diterajui oleh Nelo Vingada.

Bersama Kedah, Cheng Hoe membimbing pasukan itu memenangi gelaran Liga Premier pada 2015 disusuli dengan Piala Malaysia pada 2016 dimana ketika itu Kedah menewaskan Selangor menerusi penentuan sepakan penalti di pentas akhir.

Beliau juga membantu Kedah memenangi Piala Sumbangsih dimana mereka menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) menerusi penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terikat 1-1 pada masa sebenar permainan.