Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe memberi perhatian khusus terhadap kecederaan yang dialami oleh pemain muda negara, Syahmi Safari menjelang perlawanan persahabatan menentang Nepal dan perlawanan peringkat kelayakan pusingan pertama Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste bulan hadapan.

Syahmi mengalami kecederaan di bahagian buku lali kaki kanannya ketika beraksi bersama Selangor pada perlawanan Liga Super minggu lalu. Pemain berusia 20 tahun ini dikeluarkan pada separuh masa kedua dan digantikan dengan Sean Eugene Selvaraj.

Syahmi Safari
Sumber Gambar: Getty Images

Cheng Hoe menegaskan beliau terpaksa mencari pemain lain bagi menggantikan Syahmi sekiranya pemain itu tidak sempat pulih daripada kecederaan yang dialami.

“Apabila mengetahui perkara ini, sudah tentu saya risau kerana semua tahu bahawa Syahmi merupakan tonggak utama pasukan dan sangat berpengalaman bersama skuad Harimau Malaya.

“Apa pun, saya akan tunggu keputusan ujian imbasan pengimejan resonans magnetik terlebih dahulu bagi mengetahui tahap sebenar kecede­raannya. Sekiranya ia serius, saya akan duduk berbincang dengan barisan kejurulatihan untuk mencari pengganti sesuai,” katanya menurut laporan Kosmo.

Tan-Cheng-Hoe
Sumber Gambar: Sports247.com

Pasukan negara bakal memulakan kem latihan pusat pada 27 Mei ini sebelum menghadapi perlawanan persahabatan menentang Nepal di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 2 Jun depan. Selepas itu, skuad bimbingan Cheng Hoe akan beraksi dalam pusingan pertama Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste di stadium sama pada 7 dan 11 Jun depan.