Ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Tan Cheng Hoe mengambil langkah waspada menjelang perlawanan menentang Indonesia pada kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil Selasa ini.

Menurut Cheng Hoe, Indonesia bakal tampil berbeza berbanding perlawanan pertama di Stadium Gelora Bung Karno, 5 September lalu dimana pasukan itu diwarnai oleh barisan pemain serta jurulatih baharu.

Tan Cheng Hoe
Sumber Gambar: FAM

“Kita tahu mereka (Indonesia) melakukan beberapa pertukaran termasuk membawa jurulatih dan pemain baharu. Ia pasti membawa perubahan kepada pasukan itu yang sudah tentu inginkan kemenangan.

“Jadi kita kena tak boleh lagi memikirkan atau terlalu yakin dengan kemenangan lalu kerana sekarang semuanya sudah berbeza. Tapi seperti selalu saya pesan kepada pemain, kita kena fokus dan beri tumpuan dengan persediaan sendiri dan jangan terlalu fikirkan perkara lain kerana ia akan mengganggu tumpuan kita,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Setelah memecat Simon McMenemy kerana prestasi hambar pasukan dalam kempen kelayakan kali ini, Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) melantik pembantu Simon, Yeyen Tumena bagi mengendalikan pasukan.

Tan Cheng
Evan Dimas dan Beto Goncalves. (Foto: Media Indonesia/Viva).

Yeyen tidak memanggil beberapa pemain bintang yang sebelum ini sentiasa membarisi kesebelasan utama seperti Evan Dimas, Stefano Lilipaly dan Alberto Goncalves.

Bagi mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh ketiga-tiga pemain di atas, Yeyen memanggil Lerby Eliandri, Greg Nwokolo dan Septian David Maulana.

Malaysia ketika ini menghuni tangga keempat dalam carta kumpulan G dengan enam mata manakala Indonesia masih kekal menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Malaysia menentang Indonesia di sini:

Tiket Perlawanan Malaysia Bertemu Indonesia ‘SOLD-OUT’, Tiket Tidak Dijual Di Kaunter Stadium Nasional Bukit Jalil

11 Mata FIFA Ranking Untuk Pasukan Malaysia Sekiranya Berjaya Tumbangkan Skuad Indonesia

Yeyen Tumena Jadi Pelatih Timnas Indonesia Saat Lawan Malaysia