Ketua jurulatih Selangor, Tan Cheng Hoe menganggap anak buahnya mempamerkan aksi terbaik ketika menewaskan Negeri Sembilan 2-0 pada perlawanan suku akhir pertama TM Piala Malaysia 2022, malam tadi.

Selepas dikritik kerana aksi kurang meyakinkan pada pertemuan menentang Kelantan United tempoh hari, pemain Selangor tampil dengan lebih baik dengan menjelmakan corak permainan menyerang sejak daripada awal permainan.

Keadaan tersebut menyebabkan penjaga gol Negeri Sembilan, Ahmad Syihan Hazmi Mohamed menjadi individu paling sibuk pada aksi yang berlangsung di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Kelana Jaya itu.

Deretan peluang dimiliki menyaksikan Caion menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-56 dan ledakan kaki kiri di masa kecederaan oleh Aliff Haiqal Lokman Lau memberikan kelebihan dua gol menjelang aksi kedua di Paroi nanti.

Jika tidak kerana ketangkasan Ahmad Syihan dan juga ketumpulan penyudah barisan pemain, Selangor boleh melangkah keluar padang dengan kelebihan gol yang lebih banyak.

Tan Cheng Hoe
Kredit Foto: Selangor FC

“Kalau kita lihat satu persembahan yang terbaik daripada pemain. Tahniah sekali lagi kepada pemain-pemain kerana memberikan satu komitmen yang terbaik pada malam ini [malam tadi].”

“Dalam masa yang sama walaupun kita terlepas banyak peluang tetapi secara keseluruhannya sebagai jurulatih kita memahami ramai pemain-pemain muda yang masih boleh dipertingkatkan lagi prestasi mereka.”

“Kita harapkan setiap pemain perlu fokus untuk menghadapi perlawanan timbal balik nanti,” ujar Tan Cheng Hoe bercakap dalam sidang media selepas perlawanan.

“Corak permainan atau taktikal kita memang saya hendak pemain kekalkan permainan sebegitu [menyerang], sudah tentu kalau di depan gol kita gagal jaringkan gol memang menjadi tanda tanya kepada pasukan.”

“Tetapi sebagai jurulatih kita masih lagi percaya pemain-pemain mampu untuk mempersembahkan satu pemainan yang menarik di perlawanan timbal balik nanti.”