Kuala Kangsar BRM FC mendapat ‘talian hayat’ bagi beraksi dalam kempen Liga M3 2023 apabila dilaporkan mendapat tajaan daripada Raudhah Islamic School.

Kelab dari Perak itu sebelum ini menjadi tumpuan ramai selepas Malaysian Football League (MFL) dan Amateur Football League (AFL) melarang pembabitan jenama rokok elektronik (e-rokok) sebagai penaja pasukan.

Larangan itu disuarakan oleh kedua-dua badan penganjur pertandingan bola sepak tempatan itu selepas BRM FC memaparkan logo syarikat e-rokok pada jersi yang dilancarkan pada bulan lalu.

Keadaan tersebut menyebabkan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BRM FC, Ghafari Nasir memberikan bayangan berkemungkinan kelab tersebut menarik diri daripada saingan 2023.

Namun, segala kekusutan yang timbul berjaya diselesaikan dengan baik selepas Raudhah Islamic School dinamakan sebagai penaja baharu buat BRM FC.

Sehubungan dengan termeterainya perjanjian penajaan tersebut, Ghafari jelas mengalu-alukan kesudian pihak tersebut dalam menaja pasukannya.

“Misi kita adalah untuk melahirkan lebih ramai pemain tempatan berbakat yang bukan sahaja mampu mewakili negeri tapi juga negara dan ini suntikan semangat kepada kami.

“Harapan saya agar tajaan ini mampu membantu meningkatkan prestasi pasukan bola sepakĀ  kami susulan isu penajaan syarikat rokok elektronik ,” ujar Ghafari dalam Sidang Media majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara kedua-dua pihak itu diadakan di pejabat Kuala Kangsar BRM FC, sebentar tadi.

Dalam majlis tersebut, Kuala Kangsar BRM FC diwakili Ghafari manakala Raudhah Islamic oleh Pengarah Urusannya, Mohd Fauzi Bidin.