Presiden Federasi Bola Sepak Vietnam (VFF), Tran Quoc Tuan berharap keselamatan skuad Vietnam terjamin menjelang pertemuan separuh akhir 1 Piala AFF Mitsubishi Electric 2022 menentang Indonesia di Stadium Gelora Bung Karno malam esok.

Menurut laporan daripada media Vietnam, VFF telah memohon bantuan daripada Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) untuk mempertingkatkan tahap keselamatan kerana bimbang terdapat insiden yang tidak diingini berlaku.

“AFF telah mengundang dua pakar keselamatan daripada AFC dan FIFA untuk memastikan kelancaran perlawanan separuh akhir ini.

“Sebelum pasukan Vietnam bertandang ke tempat rumit seperti itu, saya harap mereka dilindungi dengan ketat. Saya telah menghantar dokumen ke kedutaan Vietnam untuk memberi sokongan agar mengambil tindakan untuk kawalan keselamatan mereka,” kata Quoc Tuan dipetik dari Zingnews. 

Minggu lalu, bas skuad Thailand telah diserang oleh sekumpulan penyokong Indonesia ketika tiba di perkarangan Stadium Gelora Bung Karno.

Walaupun bas yang membawa pemain Thailand ketika itu bergerak dengan kawalan keselamatan oleh pihak polis, namun segelintir penyokong Indonesia masih mengerumuni sekelilingnya sambil melakukan provokasi dan menunjukkan jari tengah.

Menerusi rakaman video dan gambar yang dikongsi oleh beberapa laman bola sepak Thailand di media sosial menunjukkan cermin bas pasukan tersebut telah pecah dipercayai dibaling batu oleh para penyokong fanatik Indonesia.

Insiden tersebut turut dikritik hebat oleh para peminat bola sepak Asia Tenggara dan mereka menyifatkan penyokong Indonesia masih tidak berubah selepas tragedi di Stadium Kanjuruhan pada 1 Oktober lalu.

Ketua jurulatih Vietnam, Park Hang Seo turut mengambil pengajaran terhadap insiden yang berlaku tersebut dan berharap ia tidak terjadi pada pasukannya.

“Setiap perlawanan pasti ada penyokong yang gila. Kadang-kadang mereka ini bertindak di luar batasan dan hilang akal. Federasi Bola Sepak Vietnam (VFF) atau pihak yang lebih tinggi harus mempunyai satu prosedur (SOP) untuk menjamin keselamatan pasukan.

“Saya tidak tahu seberapa banyak ancaman yang diterima oleh rombongan Thailand tetapi jika ingin dijadikan pengajaran, kami harus lebih bersedia. Dalam setiap pertandingan, menjamin keselamatan pasukan adalah tanggungjawab tuan rumah,” katanya seperti dipetik dalam CNN Indonesia.