Hari ini Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengumumkan senarai 28 pemain yang dipanggil oleh ketua jurulatih kebangsaan, Tan Cheng Hoe untuk menyertai kem latihan pusat bermula Isnin, 22 November 2021 sebagai persiapan menghadapi Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura dari 5 Disember 2021 hingga 1 Januari 2022.

Beberapa pemain dari luar negara turut dipilih ialah bintang FC Midtjylland, Dion Cools, Luqman Hakim, Junior Eldstal dan Dominic Tan. Mereka akan melapor diri mengikut tarikh pelepasan yang diberikan oleh kelab masing-masing.

Malaysia juga diperkuatkan oleh 2 pemain naturalisasi iaitu Guilherme De Paula dan Mohamadou Sumareh. Dua lagi pemain tempatan yang disisihkan akibat kecederaan sebelum ini iaitu Shahrul Saad dan Sharel Fikri turut tersenarai.

Skuad kebangsaan

Bagaimanapun, ketiadaan bintang muda daripada pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Arif Aiman telah menimbulkan tanda tanya dalam kalangan peminat bola sepak tanah air. Namun begitu, Cheng Hoe menjelaskan barisan jurulatih telah membuat keputusan untuk merehatkan Arif Aiman berdasarkan jumlah perlawanan yang diharungi oleh pemain itu.

“Kita terpaksa rehatkan Arif Aiman, bukan kita sengaja tinggalkan beliau. Kalau kita lihat, beliau pemain muda yang berpotensi dan ia dapat dilihat dari segi permainannya. Sudah tentu pemain muda ini kita tidak boleh terlebih guna (overused) atau dia mungkin tidak dapat beraksi dengan baik akibat keletihan.

“Jika lihat pemain muda ini, dia sentiasa bermain dalam perlawanan yang kompetitif, beliau perlukan rehat. Saya pasti untuk tahun depan pada kempen Kelayakan Piala Asia 2023, beliau akan bersedia,” jelas Tan Cheng Hoe dipetik dalam Bernama.

Baharu
Sumber Gambar: PFAM

Selain Arif Aiman, dua tonggak pertahanan iaitu Matthew Davies dan Corbin Ong juga tidak dipilih menyertai kem latihan pusat kali ini. Manakala pemain tengah seperti Azam Azih dan Syamer Kutty tidak disenaraikan kerana mengalami kecederaan.

“Ketiadaan mereka juga beri peluang kepada pemain lain supaya kita boleh dapatkan kelompok pemain untuk menghadapi pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 nanti,” kata Cheng Hoe.

Cheng Hoe hanya akan menyenaraikan seramai 24 pemain untuk skuad akhir ke Piala Suzuki AFF 2020 yang mana skuad Harimau Malaya dijadual berlepas ke Singapura pada Jumaat, 3 Disember 2021.

Hanya pemain yang pasukannya sudah terkeluar daripada saingan TM Piala Malaysia 2021, sama ada peringkat kumpulan dan suku akhir akan melapor diri di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Isnin, 22 November 2021.

Ia kemudian bakal disusuli pemain yang pasukannya tersingkir pada peringkat separuh akhir TM Piala Malaysia 2021 untuk melapor diri pada Ahad, 28 November 2021 Seterusnya, pemain yang pasukannya layak ke Final TM Piala Malaysia 2021 pada Selasa, 30 November 2021 akan melapor diri pada Rabu, 1 Disember 2021.

Baca juga artikel lain mengenai perkembangan Harimau Malaya melalui pautan dibawah.

Aidil Zafuan Dipilih Berdasarkan Pengalaman Di Pentas Antarabangsa

Harimau Malaya Diberi Sasaran Layak Ke Final Piala Suzuki AFF 2020

Harimau Malaya Hanya Ada Tiga Hari Buat Persiapan Hadapi Piala Suzuki AFF 2020

Piala Suzuki AFF 2020: Harimau Malaya Akan Beraksi Di Stadium Bishan