Penyerang skuad kebangsaan Jepun, Takuma Asano gembira kembali menemui sentuhan jaringan apabila beliau membantu skuad The Samurai Blue meraih kemenangan ke atas Tajikistan dalam perlawanan kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Central Republican, Dushanbe, Asano dimasukkan sebagai pemain gantian dan beliau berjaya menjaringkan satu gol dalam kemenangan 3-0 pasukan Jepun. Dua lagi gol dijaringkan oleh penyerang yang sedang meningkat naik ketika ini, Takumi Minamino.

Takuma Asano
Sumber Gambar: Bleacher Report

“Sudah lama sejak saya beraksi bersama pasukan kebangsaan dan apa yang penting ialah kemenangan berjaya diraih. Tetapi, saya lega kerana dapat menjaringkan gol pada perlawanan ini.

“Walaupun tahun lalu merupakan detik yang sukar untuk saya di peringkat kelab dimana saya kerap berpindah, saya tidak pernah putus asa dan meletakkan sasaran untuk kembali beraksi bersama skuad kebangsaan. Ketika di atas padang, anda perlu bersikap positif.

“Kami sedar perjalanan masih lagi jauh dan banyak perlawanan yang kami perlu hadapi. Jadi penting untuk kami menampilkan aksi terbaik setiap perlawanan,” kata Takuma Asano.

Kemenangan ke atas Tajikistan membawa Jepun ke puncak kumpulan F dengan kelebihan dua mata di hadapan pasukan Kyrgyzstan dan Tajikistan. Skuad bimbingan Hajime Moriyasu masih lagi mengekalkan rekod bersih dalam saingan kumpulan setakat ini apabila meraih tiga kemenangan daripada tiga perlawanan.

Baca artikel lain mengenai pasukan kebangsaan Jepun di sini:

Peminat Liverpool Mahu Kelab Tandatangani Takumi Minamino

Penyokong Kelab Divisyen 2 Jepun Ini Menangis Kecewa Nama Kelab Ditukar Oleh Pemilik Tanpa Peduli Suara Mereka