Pemain pertahanan muda skuad kebangsaan Jepun yang berusia 20 tahun, Takehiro Tomiyasu sah akan berhijrah ke kelab Serie A, Bologna FC 1909 dari Sint-Truiden VV dengan kontrak selama 5 tahun.

Berita mengenai perpindahan terbaru pemain dari Jepun itu dikeluarkan melalui laman sosial Twitter rasmi Sint-Truiden VV sebentar tadi, menyatakan ucapan terima kasih kepada Tomiyasu atas khidmat beliau kepada kelab.

Bologna FC 1909 juga turut mengesahkan mengenai perpindahan ini, apabila mengeluarkan satu pengumuman khas di laman web rasmi mereka, menyatakan Takehiro Tomiyasu adalah pemain terbaru mereka untuk menghadapi musim 2019/2020.

takehiro tomiyasu

Menurut laporan media antarabangsa, Sint-Truiden menerima bayaran perpindahan pemain paling besar dalam sejarah kelab, sekitar €8 juta atau RM37 juta dari perpindahan Takehiro Tomiyasu ke Bologna FC 1909 ini.

Takehiro Tomiyasu merupakan bekas pemain akademi FC Barcelona di Fukuoka, Jepun dan pernah ditawarkan untuk menyertai pasukan remaja di Barcelona tetapi kesukaran untuk ke luar negara kerana masih berada di sekolah rendah menyebabkan perkara itu tidak berlaku.

Beliau kemudiannya menyertai pasukan remaja Avispa Fukuoka sejak dari tingkatan 3 dan melakukan debut profesional pertama ketika bertemu FC Tokyo pada tahun 2016.

Tomiyasu mula dipanggil menyertai skuad kebangsaan Jepun pada bulan Ogos 2018 dan seterusnya terpilih menyertai skuad Piala Asia 2019 dan juga Copa America 2019.

Nota: Menurut media Jepun, Takehiro Tomiyasu merupakan pemain Jepun ke-11 beraksi dalam saingan Serie A selepas Yuto Nagatomo.