Hasrat untuk melihat pemain muda Jepun, Takefusa Kubo beraksi bersama Real Madrid bagi saingan musim 2019/2020 mungkin tidak menjadi kenyataan apabila pemain itu dikhabarkan bakal dipinjamkan ke kelab yang dimiliki oleh bekas penyerang prolifik Los Blancos, Ronaldo iaitu Real Valladolid.

Perkara ini didedahkan oleh Pengarah sebuah rancangan bual bicara mengenai Liga Sepanyol, “El Chiringuito” iaitu Josep Pedrerol dimana Josep menyatakan Kubo akan menyarung jersi Valladolid berbanding Real Madrid bagi saingan musim hadapan.

Satu lagi faktor mengapa Takefusa Kubo dikaitkan dengan perpindahan ke Real Valladolid ialah kelab tersebut dimiliki oleh bekas penyerang Real Madrid ketika era Galácticos iaitu Ronaldo Nazario. Hubungan baik antara Ronaldo dengan seteru Atletico Madrid itu bakal memainkan peranan dalam usaha untuk membawa masuk Kubo.

Kubo sebelum ini telah beraksi dalam beberapa siri perlawanan pra musim dan pemain berusia 18 tahun ini menampilkan prestasi cemerlang. Prestasi yang ditampilkan Kubo dilihat cukup untuk meyakinkan pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane untuk sekurang-kurangnya meletakkan Kubo dalam skuad pembangunan iaitu Real Madrid Castilla. Namun, Zidane dilihat mahu menguji kemamuan yang dimiliki oleh pemain skuad kebangsaan Jepun itu terlebih dahulu.

Takefusa Kubo
Sumber Gambar: Marca

Jika pemain skuad kebangsaan Jepun itu sah menyertai Valladolid, maka seorang lagi pemain yang ditandatangani pada jendela perpindahan musim ini, Rodrygo Silva de Goes bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Kubo. Selain membawa masuk Kubo dan Rodrygo, Real Madrid turut membawa masuk beberapa nama besar seperti Eden Hazard, Luka Jovic, Eder Militao dan Ferland Mendy bagi memperkuatkan pasukan.