Pemilik Kelantan FC, Norizam Tukiman atau lebih mesra dengan panggilan ‘Zamsaham’ menaruh keyakinan pasukannya mampu memberikan tentangan di pentas Liga Super 2023 meskipun berdepan penyertaan lebih banyak kelab pada musim depan.

Jelasnya, sebaik sahaja Malaysian Football League (MFL) mengumumkan penstrukturan Liga Malaysia 2023, beliau teruja dengan perubahan tersebut yang pastinya akan memberikan kelebihan kepada kelab-kelab bertanding bagi berdepan lebih banyak perlawanan.

Bahkan, Norizam sedar cabaran yang akan dihadapi oleh kelabnya bersaing dengan pasukan Liga Super akan menjadi satu permulaan baharu kepada mereka untuk meraih pengalaman yang cukup berguna kali ini.

Dan apa yang paling penting adalah dengan perlawanan yang lebih banyak bakal dihadapi pada musim depan akan turut sama membantu pasukan menjana pendapatan yang lebih tinggi.

“MFL membuat keputusan itu berdasarkan kajian dan apa yang mereka buat memang saya sendiri sudah nampak kita sememangnya memerlukan penyertaan lebih banyak pasukan.”

“Kalau hanya sekadar 10 pasukan sahaja bersaing pun tidak boleh juga, sudah tentu kita akan lebih teruja dengan adanya lebih bantak pasukan sebab semua kelab akan bersaing lebih sengit selepas ini.”

“Pada saya ini langkah yang baik sebab Kelantan juga akan berdepan lebih banyak perlawanan , jadi mungkin dari situ pendapatan juga kita boleh jana lebih banyak dan itulah yang akan membantu pasukan”, jelasnya.

Bercakap mengenai sasaran, Zamsaham hanya inginkan Kelantan mampu memberi tentangan yang berbeza berbanding musim ini di Liga Premier selain enggan menjadi pasukan belasahan.

Baginya, dengan usaha dan kerja keras seluruh pasukan bermula musim depan diharapkan mampu untuk meletakkan pasukan dalam kelompok 10 terbaik.

“Sasaran awal saya jangkakan kita memang nak memberi tentangan tetapi dalam masa sama saya harap penyokong juga akan faham dan sedar pasukan ini berbelanja dengan dana yang minima.

“Apa yang penting adalah kita mampu untuk membayar gaji dan itu yang saya letakkan paling atas untuk kekalkan pasukan ini tanpa ada masalah gaji apabila dah main di Liga Super.

“Dan saya pun tidak mahu Kelantan menjadi pasukan belasahan dan sasar untuk berada dalam 10 teratas, tetapi bukanlah untuk berada di tangga ke 10.”

“Maksud saya adalah dalam kelompok 10 terbaik, mungkin nombor lapan, tujuh, atau seterusnya, insyaAllah”, tambahnya.

Terdahulu, MFL mengumumkan saingan Liga Premier dimansuhkan dalam tempoh tertentu pada musim depan manakala Liga Simpanan (Reserve League) akan diperkenalkan sebagai liga yang bakal menjadi jambatan untuk memperbaiki jurang pembangunan dilihat dalam struktur liga tempatan.