Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mendapati pemain tempatan di Malaysia kekurangan perlawanan kompetitif dalam saingan domestik. Perkembangan itu didedahkan oleh Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Mohd Saifuddin Abu Bakar melalui laporan dalam Bernama hari ini.

Menurut Saifuddin, FIFA mencadangkan agar saingan Liga Malaysia yang melibatkan Liga Super dan Liga Premier dijalankan secara tiga pusingan dengan setiap pasukan akan bertemu antara satu sama lain sebanyak 3 kali berbanding 2 perlawanan yang perlu dilalui ketika ini.

Langkah itu akan menjadikan jumlah perlawanan Liga Malaysia bertambah banyak berbanding 22 perlawanan yang diharungi oleh 12 pasukan Liga Super dan 20 perlawanan oleh pasukan Liga Premier.

“Format sedia ada dikekalkan cuma pasukan akan main sekali lagi satu pusingan, sebagai contoh, Kelantan dah bermain dua perlawanan dengan Selangor, akhir sekali mereka akan bertemu semula dan kita akan tentukan siapa menjadi tuan rumah perlawanan itu.

“Tetapi kita perlu tengok juga sama ada cadangan itu boleh dibuat dalam kita punya kalendar (kalendar bola sepak) sebab kalendar kita ini lain sikit dari negara lain. Kita juga kena beri ruang kepada pasukan negara untuk buat persiapan,” kata Saifuddin kepada Bernama. 

FOTO: FAM

Hasil tinjauan FIFA terhadap ekosistem bola sepak Malaysia itu akan dibincangkan oleh FAM dalam mesyuarat yang akan datang bersama Ketua Unit Belia FAM, Mohamed Razip Ismail dan Ketua Unit Pendidikan Kejurulatihan, Lim Kim Chon.

“Jadi mereka akan buat analisi dan akan dibincangkan pada mesyuarat Jawatankuasa Teknikal dan Pembangunan FAM. Semua cadangan yang diterima kita akan tengok sama ada ia boleh dilaksanakan. Tidak semestinya semua itu kita perlu laksanakan, kita kena tengok juga situasi kita,” katanya.

Terdapat juga cadangan daripada peminat bola sepak mengenai pengurangan kuota pemain import dalam Liga Malaysia untuk memberi lebih banyak peluang kepada pemain tempatan beraksi.

Saifuddin mengesahkan tiada perubahan terhadap jumlah pemain import dalam saingan Liga Malaysia musim ini namun cadangan tersebut mungkin dipertimbangkan untuk dua musim mendatang.

“Setakat ini, kita tidak ada perubahan lagi, saya rasa Jawatankuasa Teknikal yang dipengerusikan Datuk S. Sivasundram akan bincang perkara ini secara teliti sama ada kita perlu kurangkan ataupun kekal dengan ketetapan sama.

“Tetapi apa yang pasti bukan lah pada musim ini kerana sudah terlalu lewat, kalau kita buat pun mungkin dua musim akan datang,” jelasnya seperti dipetik dalam Bernama. 

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak tempatan melalui pautan dibawah.

Abang Kandung Anthony Martial Sah Sarung Jersi Sri Pahang

Scott O’Donell Bakal Diumumkan Sebagai Pengarah Teknikal Baharu FAM?

FAM: Tan Cheng Hoe Sah Letak Jawatan Ketua Jurulatih Malaysia Dengan Persetujuan Bersama

Umbro Penaja Rasmi Jersi Terengganu Selama Dua Musim Dengan Nilai Tajaan RM1.8 Juta