Langgan saluran Telegram kami untuk kemaskini berita baharu dan isu terkini. VOCKET

Bekas penyerang skuad kebangsaan Itali, Antonio Cassano pada satu ketika dilihat mampu menjadi sebagai antara penyerang yang digeruni apabila khidmatnya ditagih Real Madrid pada musim 2005/06.

Sebagai pemain yang boleh dikatakan muda [23 tahun] pada ketika itu dan berada dalam satu pasukan bersama-sama Raul Gonzales, Ronaldo, Zinedine Zidane, David Beckham dan ramai lagi, Cassano diharapkan dapat menggunakan kesempatan tersebut bagi meningkatkan lagi kualitinya.

Namun, laluan yang dipilih bekas pemain kelahiran Bari, Itali itu kelihatannya hanya merugikan dirinya sendiri apabila sikap negatif di luar padang telah membuatkan beliau tidak mampu untuk menyumbangkan sesuatu buat Real Madrid.

Hal ini kerana, selain daripada sikap pemalasnya untuk menjalani latihan, Cassano juga seringkali mengamalkan tabiat pemakanan buruk sekali gus menjadi antara faktor mempengaruhi karier hambarnya di Sepanyol.

Cassano sendiri mendedahkan bahawa beliau memang seorang yang kuat makan dimana pasta, roti dan gula-gula adalah antara kegemarannya.

Selain itu, beliau juga begitu obses dengan Nutella sehingga menyebabkan berat badannya naik mendadak sebanyak 14 kilogram dalam tempoh beberapa bulan.

Keadaan yang pastinya amat tidak sihat buat seorang pemain bola sepak profesional.

”Nutella merupakan salah satu daripada penaja kelab dan mereka memberikan kepada kami semua lima kilogram produk tersebut pada setiap bulan,” ujar Cassano menurut laporan dikeluarkan Sport Bible.

”Dalam masa tujuh bulan, berat saya telah meningkat sebanyak 14kg, saya boleh memakan Nutella itu terus daripada bekas dengan menggunakan sudu dan ianya langsung tidak menjadi masalah buat saya.”

”Ia merupakan satu perkara yang menjijikan dilakukan oleh saya,” tambah Cassano lagi.

Selama dua musim bersama Real Madrid, Cassano yang kini sudah pun bersara daripada pentas bola sepak profesional hanya mampu membuat 29 penampilan dan menjaringkan empat gol dalam semua pertandingan disertai kelab tersebut.

Kisah Antonio Cassano ini mampu dijadikan iktibar oleh para pemain bola sepak di luar sana bahawa aspek pemakanan juga perlu dititikberatkan kerana ia mampu menjejaskan karier mereka sekiranya perkara ini tidak dipandang serius.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Eropah di sini:

Hijrah Ke Lyon Jadikan Juninho Pernambucano Pakar Sepakan Percuma

La Liga: Real Madrid Dimalukan Levante, Eder Militao Kad Merah Seawal Minit Ke-9

Khabib Nurmagomedov Dapat Tawaran Sertai Kelab Bola Sepak Rusia

Anda Mungkin Suka

© 2021 The Vocket Sdn Bhd (1305683-A), a part of Media Prima Group