Penjaga gol Negeri Sembilan, Syihan Hazmi menampilkan satu prestasi yang cukup memberangsangkan pada aksi Liga Super 2022 menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) semalam yang menyaksikan juara bertahan itu memenangi perlawanan dengan keputusan 1-0.

Meskipun Negeri Sembilan gagal untuk mencatat kemenangan, namun prestasi yang ditampilkan oleh Syihan meraih pujian daripada peminat bola sepak tanah air dan ada juga cadangan yang menggesa agar penjaga gol itu dipanggil bagi menyertai skuad kebangsaan.

Sejak menyertai Negeri Sembilan dari Petaling Jaya City pada awal musim ini, penjaga gol berusia 26 tahun itu menjadi pilihan ketua jurulatih, K.Devan untuk diturunkan dalam kesebelasan utama sekaligus menjaga gawang pasukan.

Syihan menjadi antara kunci utama Negeri Sembilan menampilkan prestasi yang baik dalam saingan Liga Super musim ini dimana beliau banyak menafikan peluang yang dimiliki oleh pasukan lawan sekaligus membantu kelabnya meraih kemenangan.

Sebagai pendatang baharu Liga Super, ramai yang menjangkakan Negeri Sembilan akan bergelut tambahan mereka sudah empat musim tidak beraksi di divisyen pertama saingan bola sepak negara ini dimana kali terakhir pasukan itu mewarnai Liga Super ialah pada musim 2018. Akan tetapi, skuad kendalian K.Devan berjaya menunjukkan kemampuan mereka.

Syihan Hazmi
Sumber Gambar: FAM

Pada siri perlawanan persahabatan yang berlangsung di Singapura baru-baru ini, ketua jurulatih pasukan kebangsaan, Kim Pan-gon memanggil tiga penjaga gol iaitu Farizal Marlias, Khairulazhan Khalid dan Kalamullah Al Hafiz bagi membawa cabaran negara.

Syihan Hazmi dilihat mempunyai potensi untuk menjadi salah seorang penjaga gol pasukan negara dan Pan-gon boleh memanggil pemain itu pada dua perlawanan persahabatan yang akan diadakan pada hujung bulan ini untuk menguji kemampuan serta tahap kesediaan Syihan bersama skuad kebangsaan.

Syihan sebelum ini pernah beraksi bersama skuad B-22 tahun negara dan pernah menyertai beberapa kejohanan seperti AFC B-23 Tahun di China. Penjaga gol ini juga pernah digantung selama 20 bulan oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ekoran gagal ujian doping ketika menyertai AFC B-23.

Baca artikel lain mengenai saingan Liga Malaysia musim 2022 di sini:

K. Devan Sanjung Tinggi Aksi Pemain Negeri Sembilan Hadapi JDT

Zhafri Yahya Akui Gol Lawan Penang Yang Tercantik Pernah Dihasilkan

Prestasi Buruk Kedah Darul Aman Bukan Kerana Masalah Gaji