Penjaga gol pasukan negara, Syihan Hazmi menjangka skuad Harimau Malaya akan berdepan laluan sukar apabila bertemu Hong Kong pada satu lagi perlawanan persahabatan antarabangsa pada 28 Februari ini.

Syihan dipilih sebagai pemain terbaik ketika Malaysia menewaskan Turkmenistan dengan keputusan 1-0 dimana penjaga gol Johor Darul Ta’zim (JDT) itu menampilkan prestasi cemerlang dengan menafikan beberapa percubaan berbahaya pemain lawan.

Untuk aksi bertemu Hong Kong, beliau menegaskan mahu mengekalkan prestasi sekiranya diturunkan dalam kesebelasan utama oleh ketua jurulatih iaitu Kim Pan-gon.

“Saya gembira kerana tidak dibolosi ketika aksi menentang Turkmenistan. Pasukan lawan memberikan banyak tekanan terhadap kami dan ia menjadi perlawanan yang mempunyai intensiti tinggi.

“Saya harus bersedia untuk apa sahaja rintangan yang bakal diberikan oleh pasukan lawan (Hong Kong). Mereka sudah pasti mahu membalas dendam selepas tewas di tangan kita pada bulan Jun lalu.

“Ia akan menjadi perlawanan yang sukar untuk kami,” kata Syihan Hazmi menurut laporan NST.

Akan tetapi, pasukan negara bakal turun tanpa kelibat Arif Aiman dan Endrick dos Santos dimana kedua-dua pemain telah dilepaskan keluar dari kem latihan pusat skuad Harimau Malaya selepas ujian yang dibuat mengesahkan kedua-dua itu mengalami kecederaan.

“Dengan situasi terkini itu, Arif Aiman dan Endrick dos Santos sah tidak dapat diturunkan untuk Perlawanan Antarabangsa Tier 1 menentang Hong Kong pada Selasa, 28 Mac 2023.

“Pegawai dan pasukan perubatan FAM sentiasa mengutamakan kesihatan dan keselamatan pemainnya dan telah bersetuju untuk melepaskan Arif Aiman dan Endrick ​​dari kem latihan pusat ini supaya mereka dapat kembali pada tahap kesihatan terbaik selepas ini.

“Dengan ketiadaan Arif Aiman dan Endrick, baki 25 pemain lain akan meneruskan kem latihan pusat ini dan tiada penambahan pemain baharu. Semoga cepat sembuh, Arif Aiman dan Endrick,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan FAM.