Ketiadaan tonggak pertahanan, Mohd Akmal Md. Zahir yang bersama Kedah sememangnya dirasai namun kem Melaka United masih positif dengan kekuatan benteng pasukan bagi hadapi baki saingan musim ini.

Menurut pertahanan kiri Melaka, Muhammad Syazwan Andik, dia sememangnya sudah ada keserasian bersama Akmal selepas mula digandingkan dalam kebanyakan perlawanan sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, pemain berusia 26 tahun itu boleh menerima kehilangan Akmal selain berasakan Melaka United masih berada di tahap terbaik untuk berdepan Negeri Sembilan di Stadium Hang Jebat,Sabtu ini.

“Memang tidak dinafikan masih terasa dengan ketiadaan Akmal yang memilih berhijrah ke Kedah pada pintu perpindahan pemain kali ini.”

“Kami telah mula dapat membentuk satu gandingan yang baik dalam beberapa perlawanan lalu tetapi saya hormati keputusan Akmal demi karier.”

“Namun masih ramai lagi pemain lain yang tidak kurang hebatnya dalam pasukan yang boleh beraksi di posisi pertahanan tengah.”

“Berdepan Negeri Sembilan,sudah tentu kami mahu memburu tiga mata bagi meneruskan rekod cemerlang Melaka yang telah menang tiga kali berturut-turut sebelum liga berehat selama sebulan,” katanya.

Kredit Foto: Melaka United FC

Ketiadaan Akmal menjadikan pilihan di bahagian pertahanan tengah antara Fadhli Shas, Justin Baas, Haziq Puad dan Faris Shah Rosli.

Pertembungan Melaka United dan Negeri Sembilan dijangka menarik kerana selain pertembungan jiran setempat, kedua-dua pasukan juga berada di momentum terbaik di pentas Liga Malaysia.

Dalam pada itu, Syazwan mendedahkan hasratnya untuk datang ke Melaka United dari JDT adalah untuk mendapatkan kembali prestasinya serta merasai lebih banyak minit permainan di Liga Super.

” Sasaran saya berada di Melaka pada musim ini adalah mahu raih kembali rentak sepertimana beberapa tahun yang lalu.

” Buat masa ini, saya sedang perlahan-lahan mendapatkan kembali kecergasan yang diperlukan dengan jurulatih sudah mula berikan kepercayaan untuk saya berada dalam kesebelasan utama.

” Sepertimana pemain lain, impian saya sudah tentu mahu meraih kembali panggilan pasukan kebangsaan pada satu hari nanti, harap segalanya berjalan lancar di Melaka,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan Liga Malaysia musim ini melalui pautan dibawah.

Daniel Ting Kembali Ke Liga Malaysia Sertai Pasukan Dari Selatan?

Pemain Pertahanan Uzbekistan Sah Sertai Sri Pahang

TMJ Akan Terus Menerajui Dan Mengendalikan Pasukan JDT – Titah Sultan Ibrahim