Dua bekas pemain skuad Harimau Muda, Syazwan Andik dan Izham Tarmizi dikhabarkan bakal menyertai Sri Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Syazwan mendapat beberapa tawaran daripada pasukan lain dalam saingan Liga Super namun lebih memilih untuk memperkuatkan Sri Pahang.

Musim ini, Syazwan beraksi bersama Melaka United secara pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) bagi memberikan peluang kepada pemain berusia 26 tahun itu mendapat minit permainan yang lebih kerap dalam saingan Liga Super setelah sebelumnya banyak beraksi bersama JDT II dalam saingan Liga Premier.

Izham pula kekal beraksi bersama skuad Harimau Selatan itu namun beliau jarang mendapat tempat dalam skuad utama dan sering digunakan untuk menghadapi aksi Liga Premier bersama JDT II.

Musim 2022 menjadi satu lagi musim yang kurang memberangsangkan bagi Sri Pahang dimana mereka menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-7 dan terkandas di peringkat 16 pasukan terakhir dalam saingan Piala Malaysia dimana mereka tewas kepada Terengganu dengan agregat yang cukup besar iaitu 9-3.

Selain Syazwan Andik dan Izham Tarmizi, Pahang bakal membawa seorang lagi pemain Melaka United iaitu Wan Amirul Afiq dimana mereka mahu memanfaatkan situasi Melaka yang tidak dibenarkan untuk bertanding dalam saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) menolak rayuan Melaka untuk mendapatkan lesen kebangsaan ekoran kegagalan pasukan itu memenuhi syarat yang ditetapkan oleh pengelola Liga Malaysia itu.

Selain Melaka, Sarawak ­United turut disingkirkan dari Liga Super musim depan walaupun tempoh seminggu diberikan badan First Instance Body (FIB) untuk kedua-dua pasukan menyerahkan beberapa dokumen.