Dua pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Syazwan Andik dan Fadhli Shas sah menyertai Melaka United bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Perkara ini dikongsikan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam dimana Syazwan dan Fadhli menyertai Melaka United secara pinjaman selama satu musim.

Setelah berjaya mara ke peringkat separuh akhir saingan Piala Malaysia musim ini, Melaka mengambil langkah untuk memperkuatkan pasukan mereka bagi menghadapi saingan musim 2022 dengan membawa masuk beberapa nama besar dalam kancah bola sepak tanah air.

Skuad bimbingan Zainal Abidin Hassan itu dilaporkan telah berjaya mendapatkan khidmat penjaring terbanyak Liga Super musim 2021, Ifedayo Olusegun bagi memperkuatkan jentera serangan.

Syazwan Andik dan Fadhli Shas banyak menghabiskan masa dengan beraksi bersama kelab pembangunan iaitu Johor Darul Ta’zim (JDT) II dalam saingan Liga Premier musim ini.

Kedua-dua pemain ini membantu JDT II menamatkan saingan Liga Premier di tangga ke-4, satu mata dibelakang Terengganu II yang menduduki tempat ketiga namun tidak beraksi dalam saingan Challenge Cup ekoran kejohanan itu dibatalkan oleh Malaysian Football League (MFL).

JDT II melepaskan beberapa pemain secara pinjaman ke pasukan lain pada tahun hadapan antaranya Irfan Fazail dan Stuart Wilkins yang menyertai Sabah selain penyerang skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad yang turut dipinjamkan bagi mendapatkan minit permainan.

Selain itu, JDT juga mengucapkan selamat tinggal kepada salah seorang pemain import yang paling lama berkhidmat bersama kelab iaitu Gonzalo Cabrera dimana pemain sayap itu memutuskan untuk meninggalkan pasukan dan mencari cabaran baharu musim hadapan.

Sepanjang bersama JDT, Cabrera telah menjaringkan 43 gol dalam 90 penampilan bersama Harimau Selatan dan memenangi pelbagai trofi seperti Juara Liga Super sebanyak 5 kali (2017-2021), Juara Piala Sumbangsih (2018-2021) dan Juara Piala Malaysia 2 kali (2017 & 2019).

Dari segi pencapaian individu, beliau pernah dinobatkan sebagai pemain terbaik bulanan pilihan PFAM dan kerap berada dalam pencalonan pemain import terbaik untuk Anugerah Bola Sepak Kebangsaan (ABK).

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Super musim hadapan di sini:

Syafiq Ahmad Akan Dipinjamkan Ke Kelab Lain Untuk Dapatkan Lebih Banyak Minit Permainan

Endrick Dos Santos Bakal Sertai JDT Pada Musim 2023 Sebagai Pemain Naturalisasi

Irfan Fazail Mahu Menyinar Bersama Sabah, Tekad Buru Tempat Dalam Skuad Harimau Malaya