Pemain Indonesia, Syauqi Saud Lubis yang melepaskan peluang terbaik untuk mencipta jaringan kerana semangat kesukanan tinggi dipamerkan ketika bertemu Jepun pada minggu lalu tampil mengulas mengenai tindakannya itu.

Syauqi mencuri tumpuan pada aksi suku akhir Piala Asia Futsal 2023 tersebut selepas beliau memilih untuk mengeluarkan bola ketika Indonesia sedang ketinggalan apabila melihat melihat Ishida Kentaro terbaring kesakitan.

Susulan dengan tindakan tersebut, Syauqi terlepas peluang untuk mendapatkan jaringan walaupun sekadar berhadapan dengan penjaga gol lawan dan kemudiannya Indonesia hanya tunduk 2-3 pada pertemuan menarik itu.

Satu keadaan yang mungkin bermain di benak pemikiran segelintir peminat Indonesia mahu pun pencinta futsal bahawa amat rugi buat pemain berusia 25 tahun itu melepaskan peluang tersebut.

Syauqi cuba menghalang pergerakan pemain Jepun, Neto Antonio Hirata. Kredit Foto: 2022 Asian Football Confederation (AFC)

Bagaimanapun, Syauqi tetap melihat pendekatan ‘Fair Play’ diamalkannya itu perlu menjadi keutamaan buatnya sebagai seorang pemain profesional.

Syauqi yang turut membantu Bintang Timur Surabaya muncul juara Piala Futsal AFF beberapa minggu sebelum Piala Asia Futsal bermula, menegaskan beliau tidak akan teragak-agak untuk melakukan perkara sama sekiranya terjadi lagi situasi sedemikian.

“Sebagai pemain profesional, saya telah diajar untuk bermain dengan semangat ‘Fair Play’. Hal ini kerana saya meletakkan ‘Fair Play’ sebagai keutamaan bagi saya,” ujar Syauqi dalam satu video sesi temubual yang dikeluarkan AFC Asian Cup.

Dalam kejohanan yang diadakan di Kuwait itu, Syauqi Saud berjaya menjaringkan dua gol iaitu masing-masing satu gol pada pertemuan menentang Lebanon dan Chinese Taipei dalam peringkat kumpulan.

 

 

 

 

Sumber