Kelab Bola Sepak Kedah Darul Aman (KDA FC) semalam telah melancarkan jersi baharu mereka untuk musim 2023 yang akan dipakai oleh semua pemain bagi menghadapi saingan Liga Malaysia.

KDA FC mengekalkan warna kuning pada jersi utama berjenama Lotto sambil dikemaskan dengan warna hijau di bahagian leher dan pangkal lengan serta dipadankan dengan seluar hijau selari gelaran skuad hijau kuning.

Manakala jersi kedua berwarna hijau gelap dan memilki kombinasi jalur kuning di atas bahu dan turut dipadankan dengan seluar berwarna hijau gelap dan akan digunakan pemain apabila beraksi di tempat lawan.

Namun, apa yang lebih menarik perhatian para penyokong ialah terdapat nama penaja utama baharu di bahagian depan jersi iaitu Bin Zayed International, sebuah syarikat antarabangsa dari Dubai, UAE.

Difahamkan penajaan tersebut hasil perbincangan pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar di Dubai pada minggu lepas. Penajaan syarikat gergasi dari UAE itu mencetus revolusi baharu buat Sang Kenari yang mahu memulakan era penswastaan dengan lebih berdaya maju dan kukuh.

“Ketua Pegawai Eksekutif Bin Zayed International telah menyatakan bahawa ingin melihat KDA FC muncul satu pasukan yang boleh memberi saingan kepada semua pasukan dalam Liga Malaysia.

“Kita mempunyai sasaran yang cukup umum untuk cuba membawa KDA FC muncul empat pasukan terbaik untuk tahun ini dan piala itu satu bonus jika berjaya mendapatnya.

“Kita juga cuba melayakkan diri ke pentas Asia pada tahun hadapan,” kata Mohd Daud dipetik dalam Sinar Harian.

Bagaimanapun, jumlah tajaan daripada Bin Zayed International tidak didedahkan namun pengurusan dan pasukan kejurulatihan KDA FC mempunyai tanggungjawab besar bagi memastikan Sang Kenari terbang tinggi pada musim ini kerana perlu menggalas harapan penaja utama tersebut.

“Kita perlu meletakkan satu kawal selia yang baik untuk mendapat keyakinan pihak pelabur. Wang ini digunakan untuk tujuan-tujuan yang sepatutnya dalam konteks pembangunan bola sepak Kedah dalam FC. Jadi saya kena jaga amanah yang besar ini,” ujar beliau lagi.