Badan pentadbir Liga Malaysia, Malaysian Football League (MFL) bersama rakan kongsinya, Enervive Consultancy Sdn Bhd (EVC) telah mula mengatur langkah dalam proses pengstrukturan semula hak penyiaran Liga Malaysia musim depan dalam tempoh 60 hari seperti yang ditetapkan.

Menurut kenyataan daripada MFL, kedua-dua pihak telah menunjukkan komitmen tinggi terhadap setiap tugas yang diberikan dan melaksanakan pelbagai inisiatif secara proaktif dalam usaha memenuhi tarikh akhir yang diberikan.

Baca: Enervive Consultancy Rakan Kongsi Baharu Dalam Penstrukturan Hak Penyiaran Liga Malaysia

“Buat masa ini, gandingan MFL-EVC telah berkomunikasi dengan pelbagai pihak termasuk beberapa syarikat korporat tempatan dan antarabangsa, firma modal teroka berorientasikan sukan, penyedia teknologi, serta bakal pelabur dalam usaha untuk membentuk perkongsian strategik,” kata kenyataan itu.

66032083_2790356207703533_2019082735942893568_o
mfl

Berjaya tarik pelabur dari dalam dan luar negara

Ketua Pegawai Eksekutif EVC Muhammad Nizamuddin Abdul Hamid, mendedahkan beberapa syarikat dari Amerika Syarikat, Singapura, United Kingdom serta negara-negara lain di Eropah dan Timur Tengah telah menunjukkan minat untuk melabur dalam pengstrukturan hak penyiaran Liga Malaysia.

“Platform OTT dan siaran langsung merupakan saluran media utama yang telah diputuskan untuk projek ini. Platform ini bakal menjadi satu-satunya sumber saluran media buat orang ramai mengakses dan menikmati kandungan bola sepak MFL.

“Projek ini telah menerima maklum balas positif pelbagai pemaju aplikasi dan penyedia teknologi yang berminat dalam menyediakan kepakaran masing-masing bagi menjayakan usaha ini,” katanya.

Tambahnya, perkongsian itu telah menerima banyak cadangan dan idea daripada persatuan bolasepak dan kelab peminat bola sepak tempatan dan kini dalam proses memuktamadkan segala input untuk melancarkan urusan penstrukturan ini.

Nizamuddin berkata, beliau yakin EVC dapat melaksanakan tugasan yang diberikan dalam memastikan kerjasama terjalin ini memberi manfaat kepada semua pihak khususnya pemegang taruh bola sepak Liga Malaysia dan seluruh komuniti peminat bola sepak di negara ini.

“Apa yang pasti, EVC menyokong usaha MFL yang telah bersedia melakukan penstrukuran hak penyiaran Liga Malaysia dalam usaha meningkatkan pendapatan pasukan yang bertanding.

“Biarpun projek berkenaan tidak semudah yang disangka, saya kekal optimis bahawa sudah tiba masanya MFL keluar daripada zon selesa demi mengangkat mutu bola sepak tempatan,” katanya.

Satu pengumuman media bakal diadakan oleh EVC dan MFL menjelang tarikh akhir 60 hari penstrukturan semula hak penyiaran Liga Malaysia.