Pemain sayap Terengganu, Faisal Halim telah memberikan syarat sekiranya pihak pengurusan mahu beliau kekal bersama pasukan untuk menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Ketika ini, masa depan Faisal atau yang lebih mesra disapa Mickey menjadi tanda tanya dimana beliau telah dikaitkan dengan beberapa pasukan besar dalam saingan Liga Super memandangkan kontraknya berssama kelab Pantai Timur itu akan tamat pada hujung musim ini.

Memetik laporan Terengganu 11, Faisal menegaskan beliau akan kekal bersama Terengganu sekiranya ketua jurulatih, Nafuzi Zain turut kekal mengendalikan pasukan musim hadapan. Pada masa yang sama, beliau mahu melihat pasukan mana yang lebih menghargai beliau, Nafuzi dan penolong pengurus pasukan iaitu Zulfadli Rozi yang telah membawanya ke Terengganu.

Menurut Faisal, terdapat lima tawaran yang telah beliau terima namun masih menunggu keputusan dari pihak pengurusan Terengganu sebelum membaut keputusan mengenai masa depannya.

Antara pasukan yang dikaitkan dengan Faisal Halim ialah Selangor yang kini berada di bawah bimbingan ketua jurulatih baharu iaitu Tan Cheng Hoe. Selangor dikhabarkan mahu membuat pertukaran besar dalam pasukan bagi mengharungi musim 2022 setelah melalui satu lagi musim mengecewakan dalam saingan Liga Super.

Bagi Nafuzi sendiri, beliau dikaitkan dengan pasukan Kedad Darul Aman bagi menggantikan ketua jurulatih sedia ada, Aidil Sharin yang berkemungkinan besar bakal dilepaskan pada hujung musim ini.

Sebelum ini, wartawan Astro Arena iaitu Zulhelmi Zainal Azam melaporkan musim 2022 berkemungkinan besar menjadi musim terakhir Nafuzi bersama Terengganu dan beliau bakal mencari pengalaman baharu bersama pasukan lain musim hadapan.

Peminat Terengganu melancarkan kempen di media sosial dimana mereka menggunakan hashtag #NafuziStay bagi menggesa pihak pengurusan agar memberikan kontrak baharu kepada pengendali berusia 43 tahun itu.

Bagi peminat Terengganu, penting untuk Nafuzi Zain kekal bersama pasukan bagi memastikan asas yang telah dibina oleh jurulatih itu dapat diperkuatkan selain memastikan pemain bintang seperti Faisal Halim, Rahadiazli Rahalim dan Shahrul Nizam kekal dan tidak berhijrah ke pasukan lain.