Pemain tengah pasukan negara, Syamer Kutty Abba gembira Malaysia mencatat kemenangan kedua berturut-turut dengan menewaskan Indonesia pada perlawanan kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 semalam namun beliau menegaskan masih banyak ruang yang boleh diperbaiki pasukan negara.

Menurut Syamer, pujian harus diberikan kepada semua pemain kerana menampilkan satu persembahan cemerlang sehingga ke minit akhir permainan bagi memastikan pasukan negara memperoleh kemenangan ketiga dalam kempen kelayakan setakat ini.

Faktor
Aksi Syamer ketika menentang Thailand. Sumber Gambar: PFAM

“Syukur kami meraih kemenangan malam ini (semalam). Setiap pemain wajar diberikan pujian kerana mereka berusaha sehingga ke minit terakhir. Bukan satu perlawanan yang mudah menentang pasukan Indonesia. Mereka adalah satu pasukan yang baik namun banyak bertahan pada perlawanan ini.

“Sukar untuk kami memecahkan benteng pertahanan yang telah disusun oleh pasukan lawan. Pada akhirnya, kami berjaya menjaringkan gol namun banyak ruang yang boleh diperbaiki oleh pasukan negara,” kata Syamer ketika ditemui selepas perlawanan tamat.

Rakan seperjuangan Syamer di bahagian tengah, Brendan Gan tidak dapat beraksi pada perlawanan menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada Mac tahun hadapan kerana mengutip kad kuning namun perkara ini tidak menggusarkan pemain Johor Darul Ta’zim itu.

Syamer
Sumber Gambar: FAM

“Walaupun Brendan tidak dapat diturunkan pada perlawanan menentang UAE, tetapi kami masih mempunyai barisan pemain yang mempunyai kualiti. Saya yakin pemain lain mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan oleh Brendan,” tambahnya.

Kempen kelayakan akan bersambung semula pada Mac tahun hadapan dimana Malaysia akan terlebih dahulu menghadapi UAE di tempat lawan pada 26 Mac diikuti dengan perlawanan menentang Vietnam pada 31 Mac.

Baca artikel lain mengenai perlawanan antara Malaysia menentang Indonesia di sini:

Aidil Teruja Raih Kemenangan, Anggap Saingan Kumpulan G Masih Terbuka

Yeyen Tumena: Dua Gol Malaysia Hadiah Dari Pemain Indonesia

Brendan Gan Digantung 1 Perlawanan, Terkilan Terlepas Perlawanan Penting Bertemu UAE Tahun Hadapan