Baru-baru ini media tempatan mendedahkan sekurang-kurangnya lima pemain Malaysia yang beraksi bersama skuad B-23 tahun kebangsaan diminati oleh beberapa pasukan dari Eropah.

Salah seorang daripada 5 pemain tersebut ialah pemain pertahanan Selangor, Syahmi Safari yang menjadi tumpuan selepas mempamerkan aksi cemerlang dalam saingan Piala AFF tahun lepas.

Menurut laporan daripada Arena Metro, Syahmi mengakui telah dirisik oleh beberapa kelab dari luar negara namun mempunyai sebab tersendiri untuk menolak semua tawaran itu.

“Sejujurnya memang benar saya pernah dirisik dua atau tiga kelab luar, tapi tak pergi sebab kalau setakat duduk bangku simpanan baik kekal dalam Liga Malaysia.

“Memang ada dua tiga kelab luar sejak dua tahun lalu bertanya dan paling baharu tahun lalu di mana kelab dari Sweden ada menghubungi.

“Tapi bukan rezeki saya sebab kita tak tahu benchmark (tanda aras) pemain dari Malaysia dipandang macam mana oleh mereka. Maksud saya, kalau kita terima dan kemudian mereka juga akan bawa pemain dari Afrika atau Eropah yang lain, jadi apa kedudukan kita dalam pasukan itu.

“Sebab kita pernah ada lagi pemain dari Malaysia main di Eropah. Jadi pandangan mereka pada kita biasa-biasa saja berbanding jika ada pemain dari Eropah yang lain,” katanya kepada Arena Metro.

Pemain Malaysia
Sumber Gambar: FAM

Selain Syahmi, 3 pemain daripada kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syamer Kutty Alba serta pemain Kedah, Irfan Zakaria turut dirisik oleh kelab eropah.

Bagaimanapun, Syahmi menjelaskan bukan gaji kecil punca beliau tidak mahu berhijrah ke luar negara tetapi beberapa faktor lain perlu diambil kira sebelum membuat sebarang keputusan.

“Ramai orang fikir kami tak nak pergi sebab gaji kecil, tapi sebenarnya bukan. Mungkin ada beza sikit gaji yang ditawarkan, tetapi tak adalah sampai kecik sangat.

“Saya dan kawan-kawan lebih fikirkan pasal benchmark yang saya katakan tadi. Kalau Luqman dapat tunjukkan sesuatu, saya percaya lepas ini orang Eropah akan pandang kita tinggi macam pemain dari Jepun atau Korea Selatan.

“Terus terang siapa tak nak main di luar negara, saya memang nak jika ada peluang. Pengalaman dapat main di sana adalah impian saya dan juga mana-mana pemain sekalipun,” katanya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan bola sepak Asia melalui pautan dibawah.

Maya Yoshida Anggap Jurang Antara Jepun Dan Pasukan Asia Tenggara Semakin Rapat

Kubo Memang Bagus & Pitch Invader Antara Perkara Daripada Kemenganan Barca

‘Goyang’ Untuk Berdepan Malaysia, Vietnam Kalut ‘Speed Up’ Proses Dokumentasi Pemain Kacukan