Johor Darul Ta’zim mencipta sejarah apabila meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) dengan menundukkan juara bertahan, Kashima Antlers dengan keputusan 1-0 semalam. Jaringan tunggal Syafiq Ahmad pada separuh masa kedua memastikan peluang JDT untuk mara ke peringkat seterusnya masih terbuka.

Syafiq telah diberikan tanggungjawab dalam beberapa perlawanan ACL dan juga Liga Super untuk mengetuai jentera serangan JDT. Beliau menampilkan aksi yang memberangsangkan dimana membentuk gandingan yang baik bersama Diogo Luis Santo. Pemain berusia 24 tahun ini juga menampilkan prestasi yang baik ketika beraksi secara solo.

Syafiq Ahmad
Sumber Gambar: Goal.com

Setakat ini, Syafiq Ahmad telah menjaringkan dua gol dalam saingan liga dan satu gol dalam saingan Liga Juara-Juara. Ketiga-tiga gol ini dijaringkan oleh Syafiq ketika beliau diturunkan dalam kesebelasan utama.

Catatan ini membuktikan bahawa bekas pemain Kedah ini mampu untuk menyumbang jaringan, dengan syarat beliau diberikan peluang dengan tampil dalam kesebelasan utama.

Syafiq-Ahmad-AFF
Sumber Gambar: FAM

Jika Syafiq berjaya mengekalkan prestasi semasa, maka beliau layak untuk mengisi posisi penyerang utama pasukan kebangsaan dan tidak perlu mengambil khidmat pemain naturalisasi untuk mengisi posisi tersebut. Syafiq telah membuktikan kemampuan beliau bersama Harimau Muda, skuad bawah 23 tahun, Kedah dan juga Johor Darul Ta’zim. Kini sudah sampai masa untuk beliau membuktikan kemampuan bersama pasukan senior.