Penyerang skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad menyahut cabaran rakan sepasukan, Dion Johan Cools untuk menjaringkan gol pada perlawanan akan datang bersama pasukan negara.

Dion memuat naik video di Instagram Story miliknya yang menunjukkan beliau membuat hantaran kepada Syafiq namun percubaan penyerang Kedah Darul Aman itu gagal menemui sasaran dan hanya terkena palang.

Pemain Zulte Waregem itu meletakkan caption yang meminta agar Syafiq menjaringkan gol pada perlawanan seterusnya dan pemain itu menerima cabaran tersebut dengan membalas melalui Instagram Story miliknya.

Syafiq Ahmad
Sumber Gambar: Instagram Story Dion Cools
Syafiq Ahmad
Sumber Gambar: Instagram Story Syafiq Ahmad

Kedua-dua pemain sememangnya menjadi nadi utama pasukan negara ketika menewaskan skuad kebangsaan Filipina dengan keputusan 2-0 pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Nasional, Singapura.

Akhyar Rashid tampil garang apabila menjaringkan dua gol dan Syafiq Ahmad menyumbang assist untuk gol kedua yang dijaringkan oleh pemain sayap Johor Darul Ta’zim (JDT ) itu.

Hasil daripada prestasi cemerlang yang ditampilkan, Dion Cools turut dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan dan menyifatkan kemenangan ke atas The Azkala merupakan sesuatu yang positif bagi bola sepak negara.

“Pemain dan staf pasukan telah bekerja dengan keras. Saya mengharungi perjalanan yang panjang untuk sampai ke sini. Ianya satu hari yang baik untuk negara ini,” kata Dion Cools pada sidang media selepas perlawanan.

Dion dan Syafiq berkemungkinan besar bakal dikekalkan dalam kesebelasan utama oleh Ketua jurulatih, Kim Pan-gon pada aksi persahabatan kedua menentang Singapura pada 26 Mac ini.

Selepas berdepan Singapura, pasukan negara akan turun menentang kelab Liga Singapura, Albirex Nigata Singapore pada 28 Mac nanti sekaligus menjadi perlawanan persahabatan terakhir.

Pan-gon menggunakan tiga perlawanan persahabatan ini sebagai medan untuk menilai pemain menjelang saingan peringkat kelayakan Piala Asia 2023 yang dijadualkan bermula pada Jun ini.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan kebangsaan di sini:

Dua Pemain Singapura Tarik Diri Sebelum Menentang Harimau Malaya

Dion Cools Anggap Skuad Kebangsaan Tampilkan Prestasi Cemerlang

Liridon Dan Sumareh Terima Kritikan Pedas Dari Peminat