Penyerang pasukan kebangsaan, Syafiq Ahmad berpendapat skuad Harimau Malaya ketika ini jauh berbeza berbanding pasukan yang menghadapi Vietnam pada pentas perlawanan akhir Piala AFF Suzuki tahun lalu.

Menurut pemain Johor Darul Ta’zim itu, pasukan kali ini dilihat lebih meyakinkan serta dilihat mampu untuk memberi keputusan positif sekaligus memperbaiki kedudukan dalam carta kumpulan G dalam kempen kelayakan pusingan kedua Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023.

Syafiq
Sumber Gambar: FAM

“Suasana perlawanan pada kali ini cukup berbeza terutama dari segi barisan pemain kebangsaan yang lebih mantap serta mampu untuk melakukan kejutan.

“Memang kebanyakan adalah pemain baharu dan perkara itu bukan masalah kerana misi yang mahu dicapai adalah kemenangan,” katanya menurut laporan Harian Metro.

Syafiq ketika ini berada dalam prestasi terbaik di mana beliau menjaringkan lima gol daripada tiga perlawanan dan menjaringkan hatrik ketika Malaysia menewaskan pasukan Sri Lanka dengan keputusan 6-0 dalam satu perlawanan persahabatan di Stadium Nasional Bukit Jalil 5 Oktober lalu.

Syafiq
Syafiq Ahmad. Sumber Gambar: FAM

Pasukan negara wajib mencatat kemenangan jika mahu memintas pasukan Thailand dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) yang ketika ini masing-masing menduduki tangga pertama dan kedua.

Selepas dua perlawanan, skuad Harimau Malaya menduduki tangga ketiga dengan kutipan tiga mata. Pada perlawanan pertama, pasukan bimbingan Tan Cheng Hoe berjaya menewaskan Indonesia dengan keputusan 3-2 namun gagal meneruskan rentak kemenangan apabila tewas kepada UAE dengan keputusan 2-1.

Baca artikel lain mengenai pasukan kebangsaan di sini:

Ramalan Susunan Kesebelasan Utama Skuad Malaysia Dan Vietnam

Prestasi Semasa Syafiq Ahmad Gusarkan Ketua Jurulatih Vietnam, Park Hang-seo

Steve Darby: Vietnam Terlalu Kuat Untuk Malaysia, Brendan Gan Dan Mat Yo Perlu Diberi Perhatian Serius