Penyerang skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad kembali beraksi bersama Kedah Darul Aman bagi menghadapi saingan Liga Malaysia musim hadapan.

Kepulangan Syafiq ini diumumkan oleh Kedah menerusi laman media sosial rasmi pasukan dimana pemain berusia 26 tahun itu menyertai Kedah secara pinjaman selama semusim.

“Selepas 4 tahun bersama Johor Darul Ta’zim (JDT), musim 2022 Syafiq dipinjamkan kepada KDA dan kepulangan beliau bukan hanya memberi suntikan positif dibahagian serangan malah turut mendapat sambutan hebat oleh semua penyokong hijaukuning.

“Usaha membawa pulang Syafiq Ahmad ke pangkuan Kedah adalah mustahil tanpa perkenan pemilik JDT, Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Mahkota Johor yang membenarkan Syafiq dipinjamkan selama setahun kepada pasukan KDA FC.

“Kontrak pinjaman ini sudah pasti memberi suntikan motivasi buat Syafiq untuk lebih cemerlang di musim 2022. KDA FC merakamkan setinggi-tinggi penghargaan buat Tunku Mahkota Johor bagi merealisasikan hasrat pengurusan pasukan dan barisan kejurulatihan untuk mendapatkan khidmat Syafiq,” dipetik dari kenyataan yang dikeluarkan oleh Kedah.

Sebelum ini, Syafiq beraksi bersama Kedah selama dua musim pada 2015 hingga 2017 sebelum berhijrah ke Johor Darul Ta’zim pada awal musim 2018.

Sepanjang beraksi bersama Kedah, Syafiq Ahmad berjaya memenangi beberapa kejuaraan seperti Liga Premier (2015), Piala Malaysia (2016), Piala Sumbangsih (2017) dan Piala FA (2017).

Perpindahan ini dilihat sebagai peluang keemasan bagi Syafiq untuk mendapatkan minit bermain yang lebih banyak sekaligus kembali kepada prestasi cemerlang beliau.

Kedah kehilangan khidmat Kipre Tchetche dan Kpah Sherman yang berhijrah ke Terengganu dan ini merupakan satu peluang yang cukup baik bagi Syafiq untuk mengisi jentera serangan pasukan Kedah musim hadapan.

Baca artikel lain mengenai perkembangan saingan Liga Malaysia musim hadapan di sini:

Sertai BRM FC, Azmeer Yusof Dedahkan Sebab Mahu Kembali Beraksi

Hairuddin Omar Sertai Barisan Kejurulatihan Terengganu Musim Depan

Darren Lok Mahu Fokus Pulih Kecederaan, Tekad Lebih Cemerlang Hadapi Musim 2022