Penyerang pasukan kebangsaan, Syafiq Ahmad terpaksa melupakan perlawanan kedua play-off kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Timor Leste pada esok setelah beliau mengalami kecederaan lutut kiri yang memaksanya untuk berehat selama dua minggu.

Syafiq dikeluarkan pada awal separuh masa pertama setelah beliau terjatuh dalam kawasan penalti ketika cuba menyambar bola hasil daripada hantaran Matthew Davies. Penyerang berusia 24 tahun ini cuba untuk meneruskan perlawanan namun kecederaan yang dialami sedikit serius dan beliau terpaksa dikeluarkan.

Ketua jurulatih pasukan negara, Tan Cheng Hoe mengesahkan perkara tersebut setelah Syafiq menjalani imbasan Magnetic Resonance Imagining (MRI). Cheng Hoe nyata kecewa kerana Syafiq memainkan peranan penting khususnya di barisan serangan pasukan negara.

Sumber Gambar: FAM

“Ianya satu kehilangan besar. Syafiq merupakan pemain penting dimana beliau beraksi dengan baik di bahagian serangan. Saya akan menentukan pengganti Syafiq dalam baki sesi latihan sebelum perlawanan pada Selasa ini.

“Saya mungkin membuat pertukaran namun akan tetap mengekalkan corak permainan sama kerana itu adalah cara kita menyerang. Tiada pertukaran taktik sebaliknya hanya pertukaran pemain,” kata Cheng Hoe menurut laporan The Star.

Juan Manuel Bofa
Sumber Gambar: JST

Selepas perlawanan menentang Timor Leste pada Jumaat lalu, Syafiq bergegas pulang ke Johor dan beliau terus mendapat sentuhan pakar perubatan juara Liga Perdana Inggeris iaitu Manchester City, Juan Manuel Boffa yang kini berada di Johor Bahru.

Menurut laman media sosial Facebook rasmi JDT, JOHOR Southern Tigers, Juan Boffa berada di Johor untuk memberi pandangan dan nasihat mengenai Pusat Perubatan JDT yang dalam perancangan untuk dibina tidak lama lagi.