Pengarah Sukan Kelab Bolasepak Johor Darul Ta’zim (JDT), Martin Prest dalam satu kenyataan rasmi hari ini mengesahkan beberapa pemain pasukan itu akan beraksi dengan kelab lain secara pinjaman pada musim 2022.

Salah seorang pemain tempatan yang kini dalam perbincangan untuk proses pinjaman ialah penyerang skuad kebangsaan, Syafiq Ahmad yang sedang beraksi dalam saingan Piala Suzuki AFF 2020 di Singapura.

Difahamkan Syafiq kemungkinan akan dipinjamkan kepada dua kelab yang beraksi dalam saingan Piala AFC musim depan iaitu Kuala Lumpur City (KL City) dan Kedah Darul Aman (KDA).

Perkembangan itu turut didedahkan oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) melalui satu ciapan di laman twitter rasmi semalam ketika menjawab pertanyaan daripada seorang peminat bola sepak tempatan.

Pada musim ini, Syafiq Ahmad jarang diturunkan dalam kesebelasan utama dan hanya beraksi dalam 4 perlawanan Liga Super. Beliau juga sempat diturunkan dalam perlawanan peringkat kumpulan AFC Champions League 2021 menentang Nagoya Grampus pada bulan April lalu.

Berdasarkan rekod dalam perlawanan Piala Malaysia, Syafiq mempunyai jumlah minit permainan yang rendah namun sempat diturunkan pada perlawanan akhir menentang KL City di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Pinjaman ke kelab lain akan memberi beliau peluang beraksi dalam perlawanan kompetitif dengan lebih kerap sekaligus membantu menampilkan aksi yang lebih baik di pentas antarabangsa bersama skuad Harimau Malaya.

Baca artikel lain mengenai perkembangan pasukan JDT melalui pautan dibawah. 

Endrick Dos Santos Bakal Sertai JDT Pada Musim 2023 Sebagai Pemain Naturalisasi

Dua Pemain JDT Sertai Sabah Secara Pinjaman

TMJ Tak Jadi Berehat, JDT Bakal Berbelanja Besar Untuk Perkuatkan Pasukan Musim Depan