Switzerland memulakan kempen Piala Dunia 2022 dengan nota kemenangan selepas berjaya menundukkan Cameroon 1-0 pada aksi kumpulan G yang berlangsung di Al Janoub Stadium, Al Wakrah Qatar sebentar tadi.

Aksi berbalas serangan ditampilkan kedua-dua pasukan tetapi Cameroon yang dibimbing Rigobert Song kelihatan lebih banyak menjelmakan serangan tepat ke arah pintu gol Switzerland.

Permainan di babak pertama juga menyaksikan Cameroon lebih berbahaya dengan dua percubaan tepat menerusi Bryan Mbeumo dan Martin Hongla manakala tiada sebarang seragan tepat dimiliki Switzerland.

Namun penjaga gol berpengalaman Switzerland, Yann Sommer cemerlang di gawangnya  daripada dibolosi untuk menggagalkan dua percubaan berbahaya tersebut.

Kem Switzerland melonjak kegembiraan pada minit ke-48 apabila Breel Embolo yang tidak dikawal pertahanan Cameroon dengan tenang menolak masuk bola hasil hantaran lintang dilakukan pemain sayap, Xherdan Shaqiri.

Kredit Foto: Twitter FIFA World Cup

Embolo yang merupakan anak kelahiran Cameroon jelas menghormati negara tersebut dengan tidak meraikan jaringan tersebut meskipun ia merupakan gol pertamanya dalam kancah Piala Dunia.

Tersentak dengan jaringan tersebut, Cameroon cuba bangkit untuk mendapatkan jaringan penyamaan tetapi percubaan Eric Maxim Choupo-Moting dari sudut sukar serta tandukan daripada Frank Aguissa diselamatkan oleh Sommer.

Switzerland juga terlepas peluang terbaik untuk melebarkan kedudukan pada minit ke-66 apabila berpunca daripada situasi hampir serupa dengan jaringan pertama, Andre Onana cemerlang menyelamatkan percubaan Ruben Vargas dalam kawasan penalti.

Usaha keraskedua-dua pasukan untuk mengubah kedudukan tidak membuahkan hasil untuk jaringan tunggal Embolo memberikan tiga mata penuh yang cukup berharga buat Switzerland menjelang aksi kedua bertemu juara lima kali, Brazil pada 29 November nanti. Sementara itu, Cameroon pula akan berhadapan dengan Serbia.