Tonggak utama skuad futsal Thailand, Suphawut Thueanklang pernah menyuarakan pendapat peribadi beliau dalam satu sesi ‘Meet and Greet’  di Petaling Jaya bersempena temasya Sukan SEA 2017 tentang betapa pentingnya keperluan bagi sesebuah negara untuk menganjurkan liga serta menganjurkan banyak pertandingan futsal di peringkat domestik yang kompetitif dalam memastikan bakat baharu dapat dikesan.

Pendapat itu nyata cukup jelas untuk menggambarkan keadaan futsal di Malaysia pada ketika saingan Liga Premier Futsal Malaysia (MPFL) dibatalkan buat musim kedua berturut-turut atas alasan wabak yang masih lagi melanda pada ketika ini.

Keputusan tersebut jelas bukan satu perkembangan baik buat senario futsal di tanah air apatah lagi kita melihat bagaimana Selangor MAC dan Pahang Rangers kelihatan amat sukar untuk menyaingi dua wakil Thailand, Freefire Bluewave Chonburi dan Port FC dalam Piala Futsal AFF 2021 tempoh hari.

Melihatkan kepada keadaan tersebut sambil melihat contoh Thailand sebagai sebuah kuasa besar futsal di Asia sehingga berjaya melayakkan diri ke pusingan 16 kempen Piala Dunia Futsal 2021, badan bertanggungjawab dalam mengembangkan potensi sukan lima sebelah di negara itu cukup meyakinkan.

Suphawut Thueanklang. Kredit Foto: Futsal Thailand

Seperti dilaporkan sebelum ini, Adisak Benjasiriwan yang merupakan Pengerusi Jawatankuasa Futsal dan Bola Sepak Pantai Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) antara individu bertanggungjawab dalam memberikan sokongan kuat bagi meningkatkan kualiti futsal di Thailand.

“Pihak bertanggungjawab perlu banyak menganjurkan kejohanan dan liga domestik kerana dari situ akan lahirnya ramai bakat berkualiti.”

“Jika kita melihat sebagai contoh, FA Thailand telah banyak melabur dalam perkembangan futsal di Thailand.”

“Keadaan itu yang membantu lahirnya banyak bakat baharu Thailand yang boleh diketengahkan ke peringkat yang lebih tinggi pada masa akan datang,” ujar Suphawut Thueanklang menurut kenyataannya yang dikeluarkan Semuanya BOLA.

Pandangan Suphawut ada asasnya buat Thailand kerana Freefire Bluewave Chonburi yang kehilangan tujuh tonggak utama kerana membawa cabaran negara tersebut di Piala Dunia Futsal masih mampu untuk menjulang kejuaraan Piala Futsal 2021 dengan tenaga sebahagian pemain muda.

Teruskan membaca artikel lain mengenai Futsal Thailand seperti dibawah.

4 Perkara Ini Jadikan Thailand Antara Kuasa Besar Futsal Asia

Piala Dunia Futsal: Vietnam, Thailand Ulangi Pencapaian 2016, Mara Ke Pusingan 16

Piala Dunia Futsal: Vietnam, Thailand Hidupkan Peluang Ke Pusingan 16