Penyerang skuad B-22 tahun Thailand, Suphanat Mueanta menyasarkan pasukannya memulakan saingan AFC B-23 Tahun dengan kemenangan apabila berdepan pasukan Bahrain pada Rabu ini.

Suphanat, yang berusia 17 tahun kembali menyertai sesi latihan yang dikendalikan Akira Nishino selepas pulih daripada kecederaan yang dialami ketika beraksi dalam temasya Sukan SEA 2019. Pemain Buriram United itu tidak diturunkan ketika Thailand tewas kepada Arab Saudi dalam satu perlawanan pemanas badan pada Jumaat lalu.

Suphanat Mueanta
Sumber Gambar: Foxsport Asia

Bercakap kepada media, Suphanat berkata beliau gembira dapat kembali menyertai sesi latihan dan sudah bersedia jika diturunkan dalam kesebelasan utama Rabu ini.

“Saya rasa saya sudah bersedia untuk menghadapi saingan kali ini setelah berehat selama dua hari. Kecederaan saya semakin pulih dimana ada satu bengkak kecil yang dijangka pulih tidak lama kemudian.

“Selepas menghadapi dua perlawanan pemanas badan, saya rasa jurulatih (Nishino) sudah mempunyai gambaran jelas tentang barisan pemain yang akan diturunkan pada perlawanan menentang Bahrain. Sebagai satu pasukan, kami sudah bersedia untuk memberikan yang terbaik. Penting untuk kami bermula dengan langkah kanan,” kata Suphanat.

Suphanat Mueanta
Sumber Gambar: Changsuek

Pada masa yang sama, Akira Nishino berpendapat para pemain telah bersedia untuk menghadapi Bahrain setelah kesemua 23 pemain diturunkan dalam dua perlawanan pemanas badan.

“Pada mulanya kami risau dengan kecederaan dua pemain iaitu Suphanat Muenta dan Airfan (Doloh). Suphanat kini telah menyertai sesi latihan manakala Airfan menjalani sesi latihan berasingan.

“Setelah mencuba 23 pemain dalam dua perlawanan pemanas badan, saya rasa mereka sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan pertama,” kata Nishino.

Thailand yang juga tuan rumah diundi dalam kumpulan A bersama Bahrain, Australia dan Iraq.

Baca artikel mengenai pasukan Thailand di sini:

Thailand Kembali Diperkuatkan Suphanat Mueanta Bagi Hadapi Saingan AFC B-23

Thailand Umum Senarai 23 Pemain Bagi Hadapi Saingan AFC B-23