Penyerang muda skuad kebangsaan Thailand, Suphanat Mueanta mengakui pengalamannya berlatih di Eropah telah membuka luas mindanya untuk menitikberatkan pelbagai aspek dalam kariernya.

Seperti dilaporkan sebelum ini, Suphanat sudah dua kali dihantar oleh kelabnya, Buriram United ke Leicester City untuk menjalani latihan selama sebulan di sana.

Kali terakhir beliau mendapat peluang tersebut adalah pada hujung tahun lalu dimana Suphanat bersama-sama Supachai Jaided, Narubadin Weerawatnodom, Rattanakorn Maikami dan Chitiphat Tangklang telah dibawa ke kelab Liga Perdana Inggeris (EPL) itu.

Malah, menurut Pengerusi Buriram United, Newin Chidchob, kualiti yang dimiliki Suphanat mampu untuk menjadikannya sebagai pemain Thailand pertama beraksi dalam kancah EPL.

Sehubungan dengan itu, pemain yang bakal berusia 21 tahun pada Ogos nanti tersebut melihat terdapat perkara positif dan memberikannya pengajaran berguna serta mengubah cara pemikirannya sepanjang menjalani latihan bersama Leicester City.

“Sebelum saya pergi ke Leicester City, saya tak banyak memberikan tumpuan kepada cara untuk menjaga keadaan tubuh badan dengan betul,” ujar Suphanat menurut laporan dikeluarkan Main Stand – International.

“Tetapi selepas saya ke sana, saya mula menyedari bahawa saya memang agak jauh ketinggalan daripada segi fizikal. Tahap profesional di sana juga sangat tinggi dalam kalangan para pemain.”

“Kalau boleh, saya ingin mencabar diri saya dan bermain di Eropah dengan segera. Selepas sesi latihan di Leicester City pada Disember lepas, saya sedar ramai pencari bakat daripada kelab lain yang cuba untuk mencari pemain,” tambah Suphanat Mueanta lagi.