Penyerang muda Buriram United, Suphanat Mueanta berjaya meletakkan diri dalam buku rekod apabila menjadi penjaring termuda dalam saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL).

Pada perlawanan peringkat kumpulan G menentang Beijing Guoan semalam, ketua jurulatih Buriram, Bozidar Bandovic memasukkan Mueanta bagi menggantikan seorang lagi penyerang muda Buriram, Supachai Jaided apabila pasukannya ketinggalan dengan tiga gol.

Perjudian yang dilakukan oleh Bandovic nyata berbaloi apabila pemain berusia 16 tahun ini berjaya menjaringkan gol seminit selepas dimasukkan apabila beliau menyudahkan hantaran rakan sepasukan, Luong Xuan Truong sekaligus menewaskan penjaga gol Beijing, Zou Dehai.

Meskipun Suphanat Mueanta berjaya mencipta jaringan, namun gol beliau nyata tidak cukup untuk menyelamatkan Buriram daripada mengalami kekalahan kedua dalam saingan kumpulan G. Penyerang Beijing, Cedric Bakambu menjadi wira pasukan bimbingan Roger Schmidt itu apabila beliau menjaringkan tiga gol pada perlawanan yang diadakan di I-Mobile Stadium.

Jaringan yang dilakukan oleh Mueanta berjaya memadam rekod yang dipegang oleh pemain Jepun, Takshi Usami yang ketika itu beraksi bersama Gamba Osaka. Usami berjaya menjaringkan gol dalam saingan Liga Juara-Juara Asia edisi 2009 pada usia 17 tahun.